GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, October 23, 2013

Cabaran kerajaan tangani defisit fiskal


Publication: BH
Date of publication: Oct 22, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Bajet 2014 yang akan dibentangkan Jumaat ini akan menjadi antara yang paling kritikal kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan semula keyakinan firma penarafan antarabangsa terhadap usahanya menangani pengurusan fiskal.

Pengarah Pasaran Global & Perkhidmatan Transaksi RHB Bank Bhd, Michael Lim Kheng Boon, berkata kerajaan perlu meningkatkan tahap disiplin dalam menguruskan perbelanjaannya bagi memastikan sasaran defisit fiskal yang ditetapkan mampu dicapai.

"Jika ini tidak berlaku, ada kemungkinan besar firma penarafan akan mengancam untuk mengurangkan penarafan kita dan keadaan itu sudah pasti akan memberikan kesan kepada kewangan negara keseluruhannya.

Tunjuk kewibawaan

"Justeru, bajet yang akan datang ini adalah sangat penting untuk kerajaan menunjukkan kewibawaannya dalam menguruskan kewangan dan mencapai sasaran defisit fiskal," katanya semasa sesi perbincangan bertajuk 'Pelonggaran Kuantitatif dan Perang Mata Wang, Apa Seterusnya Bagi ASEAN' pada Sidang Kemuncak Mata Wang FX13: Bloomberg di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, cabaran paling besar bagi kerajaan dalam Bajet 2014 ialah untuk menyeimbangkan antara keperluan mencapai jangkaan firma penarafan dengan memenuhi kehendak rakyat secara keseluruhannya.

"Bagi rakyat, sudah pasti mereka mahukan kadar cukai individu lebih rendah, namun untuk mencapainya kita perlu memiliki asas cukai yang lebih meluas dan (pengumuman) pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sudah pasti sangat ditunggu-tunggu.

"Jika bercakap dengan pelabur dan bank yang yang membeli aset pendapatan tetap, mereka mahukan kewangan fiskal diuruskan sebaik-baiknya untuk mengelak berlakunya sebarang krisis lebih buruk pada masa akan datang.

"Secara umumnya, rata-rata menjangkakan kerajaan mampu memenuhi janjinya semasa pilihan raya umum lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Strategi Tukaran Asing HSBC, Dominic Bunning, berkata beberapa langkah penyusunan semula subsidi yang dijangka diumumkan pada Jumaat ini adalah faktor penting kepada usaha mencapai sasaran defisit fiskal.

Beliau juga berkata, rangka kerja pelaksanaan GST yang lebih jelas akan meningkatkan lagi tahap keyakinan firma penarafan antarabangsa terhadap kedudukan fiskal negara.

Teliti kaedah sesuai

Ketua Strategi Kadar Faedah dan Tukaran Asing CIMB Bank, Suresh Ramanthan pula berkata, kerajaan perlu meneliti kaedah sesuai untuk mengurangkan pembayaran faedah yang kini merangkumi sembilan peratus daripada perbelanjaan operasi.

"Kerajaan juga perlu menimbang untuk mengurangkan aliran keluar wang daripada beberapa komponen perbelanjaan operasi yang lain.

"Pengurangan subsidi sudah pasti salah satu cara yang pantas untuk menjimatkan wang daripada sudut pandangan fiskal, namun pendekatan yang lebih baik adalah menguruskan perbelanjaan operasi secara berhemah dan mengurangkan kos bayaran faedah," katanya.

Ringgit mencatatkan kenaikan tertinggi di antara 24 mata wang pasaran sedang membangun pada bulan ini, berikutan jangkaan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan beberapa langkah yang akan memperkasakan pendapatan negara ketika pembentangan Bajet 2014.

No comments:

Post a Comment