Oleh Rohami Shafie
MINGGU ini, seluruh negara tertunggu-tunggu pembentangan Bajet 2014 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas dua minggu berturut-turut mengharungi pemilihan pucuk pimpinan UMNO, fokus rakyat mula terarah ke Bajet 2014.
Tahun ini tidak sebagaimana bajet tahun-tahun lalu yang mana awal-awal lagi sudah ada menteri yang menyatakan bajet kali ini bajet yang kurang popular. Kenyataan ikhlas oleh menteri berkenaan menggambarkan sikap kebertanggungjawaban tanpa menyorok hakikat sebenar ekonomi Malaysia.
Tidak dinafikan ekonomi negara kita masih kukuh. Tetapi dalam kekukuhan ekonomi negara kita, ia masih terlalu bergantung ke atas ekonomi global terutamanya Amerika Syarikat (AS). Umum mengetahui apa yang telah berlaku ke atas ekonomi AS sejak kebelakangan ini sampaikan jabatan kerajaan AS terpaksa ditutup selama 16 hari.
Iktibar utama krisis politik AS, tidak lain tidak bukan ahli-ahli politik usahlah berpolitik setiap masa. Utamakan rakyat dan tunjukkan kerjasama dalam hal-hal berkaitan rakyat. Lima tahun yang lalu, rakyat sudah penat mengharungi hal-hal politik sampaikan banyak isu rakyat tidak diselesaikan dengan baik.
Bagi saya, Bajet 2014 adalah bajet pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Meneliti angka-angka ekonomi negara, bajet ini mestilah ada kebertanggungjawaban.
Dengan objektif untuk mengurangkan defisit, pengurusan kewangan kerajaan perlu dilaksanakan dengan tegas dan berhemah. Pada masa sama akur dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2012. Tidak boleh lagi ada kepincangan dan kelemahan dalam mengurus kewangan negara yang akhirnya merugikan rakyat.
Dibimbangi bukan sahaja Malaysia mengalami defisit fiskal tetapi juga defisit akaun semasa. Ini akan terjadi sekiranya import Malaysia melebihi eksport. Kerajaan perlu menyusun langkah-langkah terbaik serta menguatkuasakannya dengan tegas agar tidak berlaku apa yang dinamakan sebagai defisit berkembar.
Projek-projek mega yang melibatkan kos import yang tinggi perlu diteliti semula. Begitu juga, hutang negara perlu dipantau dan usaha-usaha perlu dilakukan bagi memastikan hutang negara tidak melepasi had maksimum.
Julai lalu, agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings telah menurunkan prospek kredit Malaysia yang membawa kesan negatif kepada pelabur-pelabur. Dalam keadaan kerajaan wajib mengotakan janji-janji pilihan raya lalu atas semangat kebertanggungjawaban, kerajaan juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab untuk mengurangkan hutang negara.
Sememangnya kebanyakan hutang negara adalah hutang domestik, maka risikonya tentulah rendah berbanding hutang luaran, namun ia tetap perlu diurus dengan baik selari dengan pertumbuhan negara.
Transformasi ekonomi negara tidak dapat dilaksanakan dengan baik apabila defisit fiskal dan hutang negara tinggi serta berlakunya defisit akaun semasa.
Ketiga-tiga komponen utama kewangan dan ekonomi negara ini memberi petunjuk ke atas prospek ekonomi negara pada masa akan datang. Bukan sahaja dalam kalangan pelabur dalam dan luar negara tetapi juga agensi penarafan antarabangsa.
Rasionalisasi subsidi adalah salah satu kaedah untuk mengurangkan defisit fiskal. Tetapi kesannya tetap tidak bermakna sekiranya pembaziran kewangan negara tidak ditangani dengan segera.
Akhirnya, rakyat terpaksa menanggung rugi kerana kuasa beli semakin mengecil akibat harga barangan dan perkhidmatan meningkat ekoran rasionalisasi subsidi dan pada masa sama wang yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan rakyat dibazirkan begitu sahaja.
Sekali lagi, aspek pemantauan dan ketegasan pelaksanaan serta penguatkuasaan setiap program dan aktiviti perlu dijadikan keutamaan oleh kerajaan.
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang cukup banyak perancangan dan undang-undang tetapi agak lemah dari segi penguatkuasaan dan pelaksanaan. Ini juga merupakan satu transformasi besar bagi merancakkan lagi ekonomi negara.
Selain subsidi, ura-ura untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semakin ketara menjelang Bajet 2014. GST diperkenalkan bagi tujuan untuk meningkatkan pendapatan negara.
Kerisauan rakyat adalah momokan bahawa GST bakal membebankan mereka. Lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat, isu GST mungkin dilihat membebankan mereka.
Meskipun kerajaan sering kali memberi penerangan dan penjelasan, penerimaan GST dalam kalangan rakyat masih lagi samar. Dibimbangi isu ini dipolitikkan dan diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu bagi memperoleh kepentingan politik.
Melaksanakan tanggungjawab ke atas rakyat bukanlah mudah berbanding saban hari mencipta isu untuk mengkritik kerajaan. Mahu tidak mahu kerajaan perlu melihat beban yang ditanggung oleh rakyat sebagaimana tahun-tahun lalu.
Kali ini, Bajet 2014 dijangka lebih ke arah membantu golongan berpendapatan sederhana yang selama ini seolah-olah kelihatan diabaikan.
Pemilikan rumah merupakan idaman bagi setiap rakyat Malaysia sedangkan ramai kalangan rakyat masih tidak mampu memiliki rumah. Faktor harga rumah yang keterlaluan dan tidak logik dek akal menyebabkan kerajaan meletakkan isu ini antara isu paling utama demi menjaga kebajikan rakyat.
Kerajaan sedang memperbanyakkan rumah mampu milik dengan menggunakan teknologi terkini dari Jepun, dan rumah ini bakal siap dalam tempoh singkat sahaja.
Kualiti dan keselamatan tetap dijaga dan pada masa sama harga rumah dalam lingkungan mampu milik. Rumah sebegini perlu dibina bukan sahaja di bandar-bandar besar dan strategik tetapi juga di kawasan-kawasan lain seperti pekan-pekan kecil kerana harga rumah di kawasan sebegini juga meningkat kebelakangan ini.
Seperti biasa dijangkakan kerajaan memperuntukkan sejumlah besar Bajet 2014 untuk pendidikan selain peruntukan untuk keselamatan rakyat dan negara juga bakal diperincikan nanti. Keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi.
Dijangkakan juga, Bajet 2014 akan memberi tumpuan untuk merancakkan ekonomi domestik di samping memberi pelbagai insentif kepada usahawan tempatan terutamanya usahawan muda.
Banyak lagi insentif yang bakal diumumkan oleh Najib dalam mengotakan janji dan pada masa yang sama merancakkan lagi transformasi ekonomi negara demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Semuanya akan terjawab pada Jumaat ini.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Pusat
Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131022/re_07/Rasa-tanggungjawab-mengurus-kewangan-demi-negara#ixzz2iPf4EjEk
No comments:
Post a Comment