GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, October 23, 2013

GST: Belanja berhemah, jangan dera rakyat


Salmiyah Harun, 09 Okt 2013

KUALA LUMPUR: PAS meminta rakyat negara ini mengajak kerajaan agar memperbaiki serta mendisiplinkan mereka dalam menguruskan perbelanjaan negara sebelum mendera rakyat dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pakar Ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop berkata kerajaan mesti tentukan bahawa wang rakyat yang dipungut dalam bentuk cukai harus dibelanjakan dengan berhemah bukannya mendera rakyat dengan GST. 

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang hendak mengenakan GST kepada rakyat sedangkan kerajaan sendiri menggunakan wang rakyat secara membazir, buktinya selama 16 tahun berturut-turut kerajaan sentiasa berbelanja defisit di samping keadaan hutang negara saban tahun meningkat.

"Buktinya kerajaan amat boros berbelanja dan tidak berhemah langsung dalam menggunakan wang yang dipungut daripada rakyat dalam bentuk cukai. Kena perbetulkan pengurusan ini dahulu, sebelum rakyat dikenakan GST," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengakui Singapura telah mengenakan GST tetapi pelaksanaan itu dibuat setelah mereka mencapai status negara maju. 

"Kita masih negara membangun sebab perkapita kita masih di bawah USD 15,000. Perlu diingat, Singapura urus wang dengan berhemah dalam berbelanja. Mereka ada tender terbuka, dan ada akauntabiliti di pihak kerajaan. Ini semua halangan yang membawa kepada pembaziran wang rakyat," jelasnya.

Malahan katanya, apabila Singapura mengenakan GST dalam masa yang sama mereka mengurangkan cukai korporat dan personal sehingga 17 peratus.

"Kita nampak kerajaan tidak berhati perut langsung kerana cukai GST dikenakan tanpa perancangan untuk mengurangkan cukai korporat, cukai individu dan cukai-cukai lain. Ini kerana rakyat bayar cukai korporat, personal ditambah pula kena bayar GST tetap tinggi. Akhirnya rakyat jadi sengsara terbeban dengan cukai yang tinggi," tegasnya.

Sehubungan itu, menurut Rosli, ahli ekonomi telah membuat kajian dan bersetuju bahawa GST bersifat regresif iaitu beban cukai lebih tinggi kepada orang miskin dan berpendapatan rendah, semakin rendah pendapatan seseorang itu pendapatan yang digunakan untuk bayar cukai semakin tinggi.

GST bermakna kerajaan akan mengenakan cukai kepada semua rakyat memandangkan cukai akan dikenakan ke atas barang-barang yang digunakan oleh rakyat. 

"Sesiapa sahaja beli barang terpaksa membayar cukai, tetapi rakyat Malaysia bukan hanya membeli barang keperluan sahaja mereka juga membeli barang-barang lain. Jadi cukai ini tidak boleh dielakkan daripada rakyat, mereka harus bayar tidak kira kaya atau miskin, pendapatan tinggi atau berpendapatan rendah. Semua kena bayar cukai," tambahnya. 

Beberapa pihak khususnya dalam industri korporat dam percukaian menyokong pelaksanaan GST kerana ia mampu mengurangkan defisit bajet.

No comments:

Post a Comment