GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 23, 2012

GST berselindung disebalik Bajet 2013?


Salmiyah Harun,03 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN jelas tidak ikhlas dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), malah kelihatan seperti menggunakan tipu helah untuk mengaburkan pelaksanaan ini dalam Bajet 2013 yang dibentang minggu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan jelas ingin meyakinkan sektor kewangan bahawa kerajaan persekutuan mampu untuk meneruskan pentadbiran biarpun dipenuhi ketirisan dan budaya rasuah serta kronisme.

"Perenggan 80-83 dalam Ucapan Bajet Menteri Kewangan mengandungi kod-kod yang berkata kepada sektor kewangan bahawa pelaksanaan GST amat hampir," katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.


Antaranya, perenggan kod 80 berbunyi, selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah.


Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Manakala kod 81 pula berbunyi, langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi selepas kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib dibuat.Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.


Jelas Dzulkifli, Perenggan 145 pula menunjukkan pemotongan satu peratus cukai adalah berkaitan dengan pelaksanaan GST, yang secara asasnya bermaksud penjimatan yang dinikmati dari pemotongan ini akan akhirnya dibayar balik melalui GST.


"Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 ringgit sehingga RM50,000," katanya.


Bagi Dzulkifli, Ucapan Perdana Menteri ini jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan kabinet beliau. 



"April lalu, apabila ditanya di Parlimen mengenai kaitan antara GST dan TUKAR (Program Transformasi Kedai Runcit) Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengatakan bahawa "TUKAR tiada kaitan dengan GST,"tegasnya.


Laman web Kementerian tersebut turut menyatakan bahawa objektif TUKAR, sebagai salah satu EPP yang bertujuan memodenkan kedai runcit di bawah NKEA termasuk, program membangunkan  kedai-kedai runcit tempatan jenis 'mom and pop', peningkatan tahap kompetitif peruncit dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan usaha-usaha menyediakan peruncit untuk pelaksanaan Goods and Services Tax (GST).


Justeru katanya, kenyataan yang bercanggah sebegini adalah percubaan untuk menipu parlimen, wakil rakyat, dan rakyat Malaysia amnya.


Katanya, Pakatan Rakyat menentang pelaksanaan GST hinggalah perkara-perkara tertentu dilaksanakan termasuklah reformasi ke atas sistem yang dipenuhi rasuah dan budaya kronisme.


Selain itu katanya, kerajaan pasca PRU-13 nanti perlu mengambil langkah agar tidak menzalimi golongan menengah dan golongan miskin, tetapi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan pendapatan boleh guna demi memastikan kualiti hidup ditingkatkan, serta mereka mempunyai lebih banyak wang agar boleh membantu memacu ekonomi dalam negeri. 


Kerajaan BN, katanya harus ingat bahawa 60 peratus isi rumah mempunyai pendapatan bulanan kurang RM3,000, yang membolehkan mereka menyertai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 


"Dengan terlaksananya cukai GST, kumpulan ini terpaksa membayar cukai yang lebih dari apa yang mereka dapat dari BR1M," katanya.


Beliau juga menolak tanggapan bahawa beratus jenis barangan yang dinikmati golongan miskin tidak dikenakan cukai GST kerana pelaksanaan BR1M.


"Kerajaan wajib ikhlas dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat mengenai dasar-dasar ekonomi, lebih-lebih lagi apabila berkaitan isu cukai.


"Untuk berselindung disebalik kod-kod dan kenyataan yang samar adalah satu tindakan yang cukup tidak bertanggungjawab,"katanya.


Oleh itu, katanya, BN patut mengangkat isu GST dan membawanya ke PRU yang akan datang dan tanyakan sendiri kepada rakyat Malaysia sama ada mereka akan memilih sebuah Malaysia yang kotor dengan GST, ataupun yang disarankan Pakatan Rakyat iaitu sebuah Malaysia yang bersih tanpa GST.

No comments:

Post a Comment