GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, August 6, 2012

Sedikit sumbangan, besar maknanya


ARKIB : 06/08/2012

PERNAHKAH anda terfikir kenapa kita perlu membayar cukai? Bukankah ia suatu yang membebankan kerana kita terpaksa mengeluarkan sebahagian kecil peruntukan untuk dibayar kepada kerajaan selepas memperoleh pendapatan hasil penat lelah bekerja atau keuntungan dari perniagaan yang dijalankan?

Jika semua daripada kita berfikiran demikian dan enggan membayar cukai, maka sukarlah mana-mana negara yang anda diami untuk membangun. Ini kerana tanpa cukai, tiada negara yang boleh dibangunkan dengan sempurna kerana sumber kewangan sesebuah negara adalah bergantung kepada cukai yang diperolehinya.

Kekayaan sesebuah negara biasanya bergantung kepada sumber asli seperti tanah, hutan, bahan galian dan sebagainya seperti beberapa negara di Asia Barat yang mempunyai sumber minyak yang begitu banyak.

Jika pendapatan yang diperoleh hasil usaha sumber-sumber alam itu tidak begitu banyak, maka kerajaan sesebuah negara perlu memungut cukai dari rakyat dan syarikat bagi menampung sumber kewangannya.

Cukai adalah salah satu di antara mekanisme untuk memungut hasil kepada negara yang akan digunakan kembali untuk pembangunan. Seperti diketahui, terdapat pelbagai jenis cukai seperti cukai korporat, pendapatan, jualan, import dan eksport serta sebagainya.

Kebanyakan daripada kita sudah begitu maklum mengenai cukai pendapatan tetapi berapa ramai daripada kita memahami cukai yang tidak nampak seperti cukai jualan dan perkhidmatan?

Baiklah, mari kita lihat bagaimana cukai jualan atau perkhidmatan dikenakan ke atas kita apabila membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan di premis-premis tertentu.

Apabila anda perlu ke mana-mana restoran atau kafe, kita akan mendapat resit bagi makanan atau minuman yang dibeli. Katakan secawan kopi di kafe terkenal itu adalah RM10 dan di resit akan tertera harga kopi RM10, caj perkhidmatan RM1 dan cukai perkhidmatan 6 peratus (60 sen).

Daripada jumlah harga barangan yang dibeli itu, RM1 atau 10 peratus adalah caj perkhidmatan yang 100 peratus dikutip oleh restoran itu sama ada untuk keuntungannya atau dibahagi bersama kakitangan.

Maka, cukai yang dibayar kepada kerajaan untuk kopi berharga RM10 itu ialah 60 sen. Maka jumlah cukai itulah yang apabila dikumpulkan - kemudian digunakan untuk urusan pentadbiran kerajaan dan peruntukan program pembangunan.

Cukai untuk pembangunan

Melalui wang cukai, maka pelbagai projek pembangunan dapat dijalankan seperti pembinaan jalan raya, sekolah, hospital, lapangan terbang, kemudahan air dan elektrik, pemberian subsidi, pembinaan rumah kos rendah dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan, sejak 55 negara mencapai kemerdekaan 55 tahun dahulu, pelbagai projek pembangunan untuk faedah rakyat dijalankan hasil daripada kutipan wang cukai.

Melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang, lebih banyak program dan projek pembangunan era baru dilaksanakan bagi membawa Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan mempunyai rakyat yang berpendapatan tinggi.

Sebagai contoh, selepas hari ke seratus pentadbirannya, Perdana Menteri telah mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional atau Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan dalam pembangunan di negara ini.

NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan menambah baik pengangkutan awam.

Sudah tentu agenda-agenda ini tidak dapat dicapai dengan peruntukan kewangan yang cukup melalui kutipan cukai, terutamanya agenda meningkat prasarana dalam dan luar bandar, meningkat pendapatan rakyat, meningkat pendidikan dan sebagainya.

Sebagai contoh, ketika ini, terdapat 35 peratus rakyat di negara ini yang tidak di luar bandar dan pedalaman masih mempunyai akses minima kepada jalan berturap yang baik, bekalan elektrik dan air.

Tanpa peruntukan mencukupi dari kutipan cukai, mustahil golongan itu akan dapat mencapai akses sama rata seperti yang dinikmati oleh rakan-rakan mereka di bandar kerana tiada pihak swasta yang berminat membina prasarana di pedalaman kerana ia kurang menguntungkan.

Selain NKRA, kerajaan juga mengumumkan inisiatif yang mengkhusus kepada pembangunan ekonomi dikenali sebagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang mempunyai 12 teras utama kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Dua belas NKEA yang dimaksudkan ialah minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; perkhidmatan kewangan; pelancongan; perkhidmatan perniagaan; elektronik dan elektrik; pemborongan dan peruncitan; pendidikan; penjagaan kesihatan; kandungan dan infrastruktur komunikasi; pertanian; dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan 21 projek terbaru bernilai RM20.46 bilion di bawah tujuh NKEA dengan projek-projek itu dijangka meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM4.59 bilion dan mewujudkan 39,918 pekerjaan.

Jika hendak membicarakan mengenai projek-projek pembangunan di negara ini, sudah tentu ruangan ini tidak mencukupi. Cukuplah dapat dikatakan yang sumbangan kecil kita (termasuk 60 sen ketika minum di kafe tadi) merupakan sumbangan yang sangat penting dan berharga kepada negara.

Sehubungan itu, rancangan pengenalan skim cukai baru seperti CukaiBarangan dan Perkhidmatan (GST) yang bertujuan memberi keadilan kepada rakyat dan juga meningkatkan pendapatan negara - tidak seharusnya dianggap suatu yang negatif kerana kita semua mempunyai tanggungjawab untuk negara.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment