GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, November 28, 2009

GST pada kadar 4 peratus


ARKIB : 27/11/2009


KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kerajaan merancang untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada empat peratus, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

"Kita menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sekarang ini, yang kini pada lima hingga 10 peratus," kata beliau kepada pemberita pada Bengkel Mengenai Budaya, Ideas dan Nilai anjuran Foundation For the Future, di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan GST penting untuk masa depan negara.

"Sumber perolehan perlu mampan. Jika kita dapat perolehan mampan kita boleh mendapat bajet yang baik," katanya.

Beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) tidak akan meningkat berikutan pelaksanaan GST itu.

Beberapa barangan terpilih terutama barang keperluan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung serta pengangkutan awam tidak akan tertakluk kepada GST.

Husni berkata, rang undang-undang mengenai GST akan dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama tahun ini manakala bacaan kedua pada Mac tahun depan.

GST akan dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua.

Kerajaan menjangka perolehan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun selepas tahun pertama pengenalannya.

Semasa ditanya sama ada Kementerian Kewangan akan mewujudkan pasukan petugas untuk menyiasat mengenai RM500 juta yang belum dijelaskan kepada 34 kontraktor bumiputera Kelas A oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB), Ahmad Husni berkata: "Tidak ada pasukan petugas".

SPNB merupakan anak syarikat milik penuh kementerian.

"Kita telah memberikan wang kepada mereka (SPNB) di bawah pakej rangsangan. Tidak perlu lagi pasukan petugas. Ini bukan suatu yang amat kompleks yang memerlukan pasukan petugas.

"Kita yakin lembaga pengarah dan pengurusan akan menyelesaikan isu berkenaan," katanya dan menambah bahawa SPNB telah menyelesaikan sebahagian hutang tertunggak berkenaan dengan kontraktor. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1127&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRdr4d00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment