GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 27, 2014

Cadang Info Khas GST Di TV & Pawagam


January 27, 2014

KUALA LUMPUR – Slot khas di televisyen dan iklan di pawagam adalah antara cadangan yang diutarakan kepada kerajaan sebagai cara untuk memberi penerangan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat.

Hasil tinjauan rawak Bernama di empat lokasi tumpuan ramai di sekitar ibu negara mendapati 45 peratus daripada 56 responden mahukan kerajaan menyediakan slot khas berdurasi pendek di semua stesen televisyen, juga radio berhubung pelaksanaan GST mulai April 2015.

Sebanyak 18 peratus responden yang majoritinya golongan muda pula berpendapat iklan pendek di pawagam boleh memberi informasi pantas dengan pendekatan lebih santai dan efektif.

Tinjauan di Kuala Lumpur Sentral, Hospital Kuala Lumpur, stesen bas Pekeliling dan Jalan Semarak turut mendapati 10 peratus responden menyarankan kerajaan menggunakan iklan transit di pengangkutan atau lokasi awam.

Sementara iut 15 peratus responden mahukan wakil kerajaan turun padang mengadakan seminar terbuka untuk soal jawab serta debat berhubung GST, dan dua peratus responden berpendapat rakyat perlu mengambil inisiatif sendiri mendapatkan maklumat GST.

Seorang pesara swasta, P Nadesan, 68, mengakui penerangan kerajaan berkaitan pelaksanaan GST masih kurang dan maklumat tidak sampai dengan tepat malah mengelirukan.

Beliau yang berasal dari Klang berkata slot khas mengenai GST boleh ditayangkan sekurang-kurangnya dua kali seminggu pada waktu puncak di semua saluran televisyen.

“Boleh ditayangkan juga semasa iklan, tidak perlu lama asalkan semua maklumat penting diberitahu dan iklan itu juga perlu pelbagai serta kreatif…jangan sama sahaja,” katanya.

GST akan diperkenalkan kerajaan dengan kadar enam peratus, menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada yang termasuk cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Sehingga 2009, GST dilaksanakan di 146 negara – Perancis menjadi negara pertama melaksanakannya pada 1954.

Dalam kalangan negara Asean, Indonesia negara yang terawal melaksanakan GST iaitu pada 1984, diikuti negara lain kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar.

Seorang responden berusia 55 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Remy berkata slot GST itu perlu dipanelkan oleh golongan profesional, seperti pakar ekonomi dan kewangan, bukan golongan politik.

Katanya kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan kaedah penyebaran maklumat melalui Internet memandangkan ia boleh dimanipulasi golongan tidak bertanggungjawab dan bukan seorang pakar.

“Saya dapat maklumat pun dari kedai-kedai kopi, yang banyak negatifnya, jadi kerajaan perlu jelaskan adakah benar atau tidak GST ini membebankan rakyat,” katanya.

Mahasiswa universiti swasta, Nur Juliani Abdul Jabar, 24, berkata iklan pendek di pawagam adalah lokasi penyebaran maklumat yang strategik memandangkan tempat itu paling gemar dikunjungi golongan muda.

“Kalau golongan muda dididik dan didedahkan dengan maklumat GST, maka mereka juga boleh menjadi ejen penyampai maklumat GST kepada anggota keluarga dan rakan yang lain,” katanya.

Sementara itu, penjawat swasta Mohd Jofri Shah, 23, berpendapat penjual barang makanan asas, perkhidmatan pengangkutan dan perkhidmatan kerajaan perlu mempamerkan logo atau papan tanda bahawa premis itu tidak mengenakan GST, sewaktu peringkat permulaan pelaksanaannya nanti.

Menurut Kementerian Kewangan, antara barang makanan asas yang tidak dikenakan GST ialah beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempas ratus, ikan masin, cencalok, budu dan belacan.

Selain itu, perkhidmatan yang dikecualikanialah bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna, pengeluaran pasport, kesihatan, pembelajaran di sekolah, pengangkutan serta perkhidmatan kewangan terpilih.

“Ini membantu mengelak pengguna daripada ditipu penjual barang serta penyedia perkhidmatan yang tidak dikenakan GST,” kata Mohd Jofri.

Seorang doktor perubatan yang mahu dikenali sebagai Dr Jeremy, 40, berkata kerajaan perlu meluaskan operasi penerangan mereka sehingga ke kawasan luar bandar bagi memastikan ia benar-benar difahami ketika pelaksanaannya kelak.

Beliau berkata, jika ia tidak difahami dengan jelas, maka sistem itu akan disalah anggap sebagai sistem cukai baharu yang membebankan mereka.

Peniaga alat telekomunikasi, Shawn Teh, 24, pula berkata kerajaan boleh menggunakan sistem dalam talian 24 jam khas mengenai GST bagi membolehkan rakyat berhubung secara terus menerusi telefon atau Internet.

“Boleh juga gunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk hantar kepada rakyat menjelaskan tentang GST,” katanya.

Kakitangan kerajaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Rosmah, 57, berkata rakyat perlu berubah dan berusaha mendapatkan sendiri maklumat berkaitan GST memandangkan banyak kemudahan teknologi yang boleh digunakan pada masa kini.

“Rakyat sendiri kena ambil tahu dan jangan percaya dengan pihak tertentu, jangan kita tertipu kerana sikap tidak ambil tahu kita,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment