GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 30, 2014

Kejayaan Kementerian Pengangkutan diiktiraf


Publication: BH
Date of publication: Jan 29, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 013
Byline / Author: Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Pelbagai kejayaan yang diperoleh Kementerian Pengangkutan sepanjang tahun lalu memberi kesan yang besar kepada kemajuan sektor pengangkutan darat, udara dan laut di negara ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata antara kejayaan paling bermakna kementerian termasuk memenangi kerusi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) masing-masing pada Oktober dan November tahun lalu.

"Kemenangan itu membuktikan Malaysia berada dalam landasan kukuh dalam industri penerbangan dan maritim sekali gus meletakkannya setaraf dengan negara maju lain," katanya.

Kejayaan dalam industri itu akan turut menyumbang kepada perkembangan pesat sektor lain dalam negara termasuk pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Hishammuddin berkata, bagi sektor pengangkutan darat, pelbagai inisiatif dilakukan bagi meningkatkan keupayaan kementerian menerajui pengangkutan negara termasuk pengenalan Lesen Memandu Bersekuriti Tinggi (LMBT) yang bertujuan meningkatkan ciri keselamatan lesen memandu.

Perkenal program `MyLESEN'

"Selain itu bagi memastikan semua pemandu khususnya belia memiliki lesen memandu, program 'MyLESEN' berkonsepkan 'Government to Citizen' akan diperkenalkan pada April ini.

"MyLESEN membabitkan pelbagai perkara termasuk latihan dan ujian lesen memandu motosikal kelas B2.

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan menggubal semula Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang akan dilaksanakan secara perintis tahun ini. Kurikulum baru itu antara lain termasuk memperkenalkan latihan dan ujian bagi kereta transmisi automatik," katanya.

Beliau berkata, bagi memantapkan jaringan perkhidmatan pengangkutan udara komprehensif dengan dunia luar, Malaysia sehingga kini sudah mempunyai aturan perkhidmatan pengangkutan udara dengan 101 negara.

"Daripada jumlah itu Malaysia mempunyai aturan langit terbuka (Open Skies) dengan 20 negara dan pada tahun lalu rundingan udara telah dilakukan dengan 13 negara termasuk United Kingdom, Korea Selatan dan Australia.

"Selain itu, pada masa ini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hampir mencapai had kapasiti pengendalian penumpang iaitu 40 juta setahun.

"Melalui pembukaan KLIA2 tidak lama lagi, kapasiti KLIA akan dapat ditingkatkan kepada 85 juta setahun. Ia bagi memastikan industri penerbangan negara lebih kompetitif berbanding lapangan terbang utama di rantau ini," katanya.

Sektor maritim memberangsangkan

Beliau berkata, sektor maritim negara pula menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya mengendalikan 533.8 juta tan kargo sepanjang tahun lalu dan prestasi pengendalian dijangka meningkat tiga peratus tahun ini.

"Jumlah kapal yang mengunjungi pelabuhan negara tahun lalu juga melebihi 75,000 meliputi kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC), kapal tangki dan kapal kontena.

"Berkuat kuasa 1 April 2015 juga, perkhidmatan bot dan feri akan dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana ia adalah pengangkutan utama rakyat di beberapa kawasan di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment