GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, January 29, 2014

Ahli KRT pantau harga barang


Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my
Joseph Kurup (dua dari kiri) beramah mesra dengan ahli Skim Rondaan Sukarela
(SRS) ketika hadir merasmikan SRS peringkat Negeri Sembilan dan Pusat Rondaan
Sukarela Taman Mantau Indah di Seremban, semalam.
SEREMBAN 28 Jan. - Lebih 500,000 ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara disaran turut memantau harga barang dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku kenaikan yang melampau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, peranan mereka penting bagi memastikan pemantauan yang meluas dan berterusan untuk mengekang perbuatan peniaga menaikkan harga barangan secara tidak munasabah.

"Adalah menjadi harapan agar semua KRT dapat memainkan peranan dalam membantu kerajaan dalam memantau kenaikan harga barang ketika ini. Bagi saya tidak ada sebab mengapa harga barang naik secara melampau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Skim Rondaan Sukarela (SRS) peringkat Negeri Sembilan dan Pusat Rondaan Sukarela Taman Mantau Indah di Taman Mantau Indah di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan.

Sebagai contoh kata Joseph, beliau amat terkejut apabila anaknya memberitahu harga teh tarik di kawasannya di Sabah naik secara melampau daripada RM2 kepada RM3.50 segelas.

Jelasnya, apabila ditanya mengenai kenaikan mendadak itu, peniaga tersebut menjelaskan kenaikan harga berkenaan disebabkan pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerajaan, sedangkan ia masih belum dilaksanakan.

"Kita harap orang ramai di negara ini perlu sentiasa dimaklumkan mengenai perkara ini agar mereka tidak terus ditindas oleh peniaga yang cuba mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berlebihan," katanya.

Dalam pada itu, Joseph juga menjelaskan JPNIN akan menjalankan kajian holistik mengenai fungsi KRT bagi memperkasa peranan skim itu menerusi kajian selama enam bulan itu sudah bermula bulan ini dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ujar beliau, kajian itu juga antara lain bagi mengenal pasti setiap permasalahan yang ada di 6,482 KRT seluruh negara, kerana skim itu bukan sahaja penting untuk aspek kemasyarakatan tetapi juga keselamatan khususnya menerusi penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

''Antara perkara yang akan dilihat menerusi kajian ini adalah menyediakan kemudahan pejabat operasi KRT di setiap taman perumahan yang mempunyai skim ini.

"Kita yakin kajian ini dapat menambah baik peranan KRT dan jika diurus dengan baik serta berkesan, skim ini mampu memberi impak yang besar kepada kerajaan dan masyarakat," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment