GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 27, 2014

Negara dijangka terima aliran dana asing separuh kedua


2014/01/27 - 04:41:54 AM

Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dijangka menerima aliran masuk dana asing yang kukuh pada separuh kedua tahun ini berikutan keadaan ekonomi yang positif di rantau ini. 

Ketua Penyelidikan Kenanga Investment Bank, Chan Kew Yew, berkata jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang tidak berubah yang mungkin membawa kepada peningkatan asas monetari nominal dan penawaran wang, akan mencetuskan minat pelaburan. 

"Pelabur akan mula melihat Asia Tenggara sekali lagi sebagai destinasi pelaburan susulan potensinya untuk terus berkembang pesat. 

"Kadar faedah AS dijangka tidak berubah tahun ini. Sekiranya ada sebarang perubahan, ia hanya akan disemak semula pada 2015," katanya kepada pemberita selepas 'Dialog Unjuran Pasaran dan Feng Shui Kenanga 2014' di Kuala Lumpur. 

Kew Yew berkata, ketegangan politik yang berlaku di Thailand dan Indonesia sekarang akan menyebabkan pelabur menjauhkan diri buat sementara waktu serta boleh menyumbang kepada penyusutan nilai mata wang kedua-dua negara dan mata wang serantau lain. 

"Bagaimanapun, sebaik sahaja senario ini berakhir, dana akan kembali semula dengan pantas ke negara dan rantau ini. Ini akan menjadi satu lagi alasan mengapa pelabur akan melihat kembali Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan," katanya. 

Bagi Malaysia, beliau berkata jangkaan pengukuhan ringgit akan menjadi alasan yang boleh menarik pelabur ke negara ini. 

"Kami menjangka ringgit mengukuh kepada RM3.09 pada akhir tahun, berbanding anggaran konsensus RM3.25. 

"Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka mengukuhkan lagi penarafan berdaulat Malaysia," katanya. 

Kew Yew berkata, langkah penstrukturan semula subsidi yang dilaksanakan kerajaan juga dijangka mampu membantu menambahbaik paras fiskal negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment