ARKIB : 28/01/2014
KOTA KINABALU 27 Jan. - Pelbagai pendekatan dan dasar pembangunan diperkenalkan kerajaan negeri bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi, sekali gus memastikan pembangunan mapan dapat dilaksanakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri, pelbagai usaha membangunkan ekonomi Sabah secara holistik dilaksanakan termasuk pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
Katanya, Sabah mampu menikmati kadar pertumbuhan positif yang amat menggalakkan dan ia terbukti menerusi peningkatan bajet negeri dari tahun ke tahun.
"Bajet negeri pada tahun ini telah meningkat kepada RM4.622 bilion iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negeri, berbanding RM4.088 bilion pada tahun sebelumnya.
"Pada masa yang sama, kita juga dapat meningkatkan rizab negeri yang telah mencecah RM3 bilion dan suka saya tegaskan bahawa usaha-usaha untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri dan mempertingkatkan kemajuan ekonomi adalah keutamaan kerajaan BN negeri Sabah," katanya berucap dalam seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) Peringkat Negeri Sabah, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri. Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Mengulas lanjut, Musa berkata, tidak dinafikan bahawa terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mempengaruhi minda dan pemikiran rakyat supaya menolak usaha transformasi yang dibawa kerajaan.
Jelasnya, golongan tersebut cuba mengapi-apikan rakyat dengan mengatakan apa yang dilakukan oleh kerajaan hanya akan membebankan rakyat termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan sistem cukai sedia ada menjelang tahun 2015..
"Suka saya tekankan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sesuatu langkah atau dasar yang hanya akan menimbulkan kesusahan atau merugikan rakyat.
"Apa juga dasar, langkah atau program yang dilakukan oleh kerajaan sebenarnya telah dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum dikemukakan untuk dilaksanakan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20140128/wb_03/Dasar-kerajaan-demi-kepentingan-rakyat---Musa#ixzz2rmgnWGgU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment