NIZAM ZAIN
3 Disember 2013
SHAH ALAM - PKR hari ini mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya berhenti mempropagandakan istilah 'rasionalisasi subsidi' di sebalik kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak terkawal sedangkan rakyat terus dibebankan kos sara hidup tinggi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa sikap hipokrit kerajaan BN yang menggesa rakyat bersikap rasional dengan kenaikan tersebut sedangkan pemerintah sendiri terus berboros dan tidak memperbaiki kelemahan pengurusan ekonomi negara.
Sambil menyifatkan slogan 'Rakyat Didahulukan' yang diuar-uarkan kerajaan sebelum ini sebagai 'pisau bermata dua', pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga gula dan tarif baru bagi bekalan elektrik, nyata satu tamparan hebat kepada rakyat selepas PRU13 lalu.
"Apakah pengurangan subsidi dalam banyak sektor tidak cukup untuk menampung sikap belanja tidak berhemah kerajaan?"
"Jangan salahkan rakyat jika mereka mengelak membayar cukai walhal pengkhianat sebenar terus boros berbelanja, rakyat pula digesa mengubah cara hidup kecuali Perdana Menteri dan pemimpin BN," katanya memetik kenyataannya, hari ini.
Ahli Parlimen Bukit Katil itu juga menyifatkan sikap boros kerajaan BN yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini sebagai tidak patriotik dan berkonsepkan 'perhambaan'.
Selain itu katanya, tindakan kerajaan untuk menaikkan kadar tarif elektrik bermula 1 Januari depan tidak bertepatan dengan keadaan ekonomi rakyat yang dibebani kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga petrol dan diesel selepas PRU13 lalu.
"Masih terkesan dengan kenaikan harga petrol, pemansuhan subsidi gula, rakyat secara berterusan ditekan secara sistematik melalui kenaikan kadar tarif elektrik ini.
"Kesan rantaian yang terhasil daripada siri-siri kenaikan harga ini, atau yang dilunakkan oleh kerajaan dengan istilah 'rasionalisasi subsidi', hanya menyebabkan rakyat mengalami tekanan yang berterusan," dakwanya lagi.
No comments:
Post a Comment