GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, December 2, 2013

Adakah kita perlu takut dengan GST?


| November 29, 2013

Kajian yang dijalankan ke atas 944 produk mendapati jika berlakunya kenaikan harga barangan harian, ianya akan meningkat dalam purata 1.8%.

PETALING JAYA: Ramai lagi di luar sana yang belum jelas mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 6% yang akan dilaksanakan mulai April 2015 ini.

Malah apabila kerajaan mengumumkan yang GST akan diperkenalkan, ramai yang melenting kerana berasa ia hanya menambah beban rakyat. Ramai yang keliru kerana beranggapan bahawa GST merupakan satu cukai baru selain Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang sudah ditanggung oleh pengguna. Jika ditambah dengan GST, pastinya akan menambah perbelanjaan kita.

Namun tidak kurang juga yang memberikan sokongan kepada pelaksanaan sistem GST dalam Malaysia. Pendapat-pendapat pakar cukai dan ekonomi juga diambil untuk menyokong pelaksanaan cukai tersebut.

Bagi merungkai pesoalan yang timbul, FMT telah mendapatkan penjelasan daripada sumber dari dalam Kementerian Kewangan sendiri.

Menurut sumber tersebut, pelaksanaan GST pada tahun 2015 nanti memang akan memberi impak kepada harga barangan harian pengguna, namun bukan semuanya akan naik, malah ada juga yang akan turun.

Ketika ini, menurut beliau terdapat dua kadar Cukai Jualan yang dikenakan keatas barangan, sama ada 5% ataupun 10%.

Jelasnya lagi, pihaknya telah menjalankan kajian ke atas 944 produk dan mendapati jika berlakunya kenaikan harga barangan, ianya akan meningkat dalam purata 1.8%.

“Namun kenaikan harga barangan ini merupakan one-off dan tidak akan terus meningkat naik secara bermusim kerana kadar 6% yang sudah ditetapkan itu.

“Malah, jika sesuatu barangan itu sudahpun dikenakan cukai jualan sebanyak 10% ketika ini, dengan pelaksanaan GST nanti, harga barang itu sepatutnya turun sedikit,” jelas beliau.

Beliau juga turut menegaskan yang barangan asas keperluan harian tidak akan dikenakan GST sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2014.

Tambah beliau, ramai sebenarnya keliru dengan pelaksanaan GST kerana memikirkan mereka tidak membayar sebarang cukai dalam proses pembelian harian mereka.

“Hakikatnya pengguna tidak sedar yang mereka sebenarnya telah membayar cukai jualan dalam urus niaga harian.

“Contohnya jika pengguna membeli pakaian, bag dan kasut sekolah untuk anak-anak, sebenarnya sudah terdapat 10% cukai jualan yang terselindung di dalam harga barangan tersebut. Jika kasut sekolah itu berharga RM30, tidak boleh kata nanti akan ada peningkatan 6%. Sepatutnya ada pengurangan kerana cukai jualan dihapuskan dan digantikan dengan GST,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa peniaga yang untuk tidak memindahkan beban kenaikan harga barangan kepada pengguna.

“Bagi perniagaan yang memperoleh lebih dari RM500 ribu setahun, apa-apa input GST yang dikenakan keatas barangan perniagaan mereka, mereka boleh menuntutnya kembali kepada kerajaan. Mereka tak tanggung apa-apa kenaikan kos kerana ia boleh dituntut kembali.

“Bagi peniaga kecil pula, kita minta mereka serap kenaikan harga itu jika ianya naik terlalu sedikit. Janganlah pindahkan beban kenaikkan itu kepada pengguna pula,” jelasnya.

Apabila disoal impak GST kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, beliau mengakui bahawa pihaknya ada mempertimbangka golongan ini di dalam kajian mereka.

“Sebab itu kerajaan akan memberi rebat RM300 kepada mereka yang berkelayakan supaya dapat menampung perbelanjaan mereka nanti jika ada berlakunya kenaikan harga barang,” jelasnya sambil menambah kajian yang pihaknya jalankan mendapati 60% perbelanjaan golongan berpendapatan rendah adaalah ke atas barangan yang tidak akan dikenakan GST.

Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut, FMT bertanya kepada sumber tersebut adakah produk-produk yang digunakan oleh kebanyakkan rakyat sekarang sudah dikenakan cukai jualan.

Berikut adalah senarainya:

1. Berus gigi dan ubat gigi – 10% cukai jualan dikenakan.

2. Pencuci muka – 10% cukai jualan dikenakan.

3. Sabun mandi – 10% cukai jualan dikenakan.

4. Syampu – 10% cukai jualan dikenakan.

5. Bedak – 10% cukai jualan dikenakan.

Jadi, rumusannya, kebanyakkan harga barangan kegunaan harian tidak akan meningkat setelah GST dilaksanakan.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) turut bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk melaksanakan GST namun menegaskan kerajaan harus berinteraksi dengan rakyat dengan lebih efektif untuk memastikan rakyat memahami keperluan melaksanakan cukai itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Datuk Paul Selvaraj, apabila dihubungi oleh FMT, berkata kerajaan harus meyakinkan rakyat yang wang dari hasil cukai yang dikumpulkan itu akan dibelanjakan secara bertanggungjawab.

“Kita kena melihat penambahbaikan dari segi kenderaan awam, kebajikan rakyat, pembinaan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik dan peningkatan mutu system pendidikan,” katanya.

Menurutnya lagi, pelaksanaan GST memang tidak dapat dielakkan kerana eknomi negara hari ini banyak bergantung kepada petroleum, sumber yang tidak akan berkekalan selamanya.

Tambahnya, kerajaan juga harus memikirkan nasib golongan pertengahan yang merupakan golongan terbesar di Malaysia.

“Mereka tidak layak untuk menerima bantuan namun mereka juga tidak mampu membeli rumah dan terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Jadi kerajaan harus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat melalui hasil yang dikutip untuk manfaat mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment