Publication: BH
Date of publication: Jun 28, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 010
Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dapat membantu mengatasi masalah ketirisan kutipan cukai dalam kalangan peniaga, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Katanya, berdasarkan kajian jangkaan untuk 2015, jumlah kutipan melalui sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ketika itu adalah RM20 bilion, tetapi meningkat kepada RM26 bilion jika GSTdilaksanakan.
"GST jauh lebih berkesan kerana dapat menghalang peniaga yang mengelak dari membayar cukai dan kita tidak boleh mengatakan tambahan RM6 bilion (kajian jangkaan 2015) hasil kerajaan ini datang dari cukai rakyat.
"Ini jelas membuktikan kaedah GST adalah berkesan kerana cukai akan dikenakan bagi setiap transaksi perniagaan," katanya kepada media di lobi Parlimen di Bangunan Parlimen, di sini semalam.
Ahmad Husni (BN-Tambun) berkata, cadangan GST masih lagi di peringkat kajian dan pertimbangan kerajaan dan ia bukan tambahan kepada cukai sedia ada sebaliknya adalah cadangan bagi menggantikan SST.
Katanya, kerajaan sedang mengkaji impak GST kepada golongan berpendapatan rendah termasuk 20 kumpulan barangan dan perkhidmatan akan diberikan pengecualian cukai terutama makanan.
Beliau berkata, harga barang dan perkhidmatan tidak ditentukan sepenuhnya kepada cukai yang dikenakan tetapi membabitkan margin keuntungan peniaga.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong semalam setuju GST dilaksanakan apabila negara mencapai kadar pendapatan rakyat yang lebih tinggi.
Beliau berkata, gambaran seolah-olah GST akan dilaksanakan dalam masa terdekat perlu disertai dengan reformasi percukaian supaya ia lebih bersifat telus.
"Sistem percukaian GST adalah sistem yang efisyen, oleh itu lima peratus yang dikenakan tidak begitu dirasai kesannya hanya apabila pendapatan rakyat tinggi, sebaliknya ia akan membebankan jika tidak dilaksanakan dengan telus," katanya.
Anwar berkata, jika GST dilaksanakan, rakyat akan lebih terbeban dengan kenaikan kos sara hidup ekoran harga barang yang melambung tinggi.
No comments:
Post a Comment