ARKIB : 22/06/2013
Oleh DR. SUFIAN JUSOH
sufianjusoh@gmail.com
PENULIS ialah Perunding Perbadanan Harta Intelek Malaysia berkaitan Penilaian Harta Intelek. Beliau juga Felo Kanan dan Perunding Luar, World Trade Institute, University of Bern, Switzerland.
Sekarang ini sudah terbit bibit kebimbangan terhadap hakcipta yang dimiliki oleh Tan Sri P. Ramlee yang akan tamat tempoh dalam masa 10 tahun lagi. Keluarga Allahyarham P. Ramlee semestinya beroleh manfaat hasil daripada tempoh masa perlindungan hakcipta yang lebih panjang.
Manfaat yang sama akan dapat dirasai oleh semua yang terlibat dalam industri yang berkaitan. Manfaat ini bukan hanya dirasai oleh orang asing tetapi yang penting, ia dapat membantu mengembangkan industri berkaitan pengetahuan di Malaysia sesuai dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
Apatah lagi dengan inisiatif kerajaan untuk mengiktiraf serta memberi pembiayaan kepada perniagaan berasaskan harta intelek melalui penilaian harta, yang mana tempoh masa hakcipta yang lebih lama sudah tentu akan meningkatkan nilai harta intelek yang terbabit.
(b) Paten dan Ubat-ubatan
Terdapat maklumat yang mengatakan bahawa terdapat cadangan untuk melanjutkan tempoh masa paten bahan farmasi dari tempoh 20 tahun kepada satu masa yang lebih panjang. Cadangan ini diperkatakan akan meningkatkan harga ubat-ubatan dan mengurangkan daya saing industri ubat-ubatan generik di Malaysia.
Adalah diperhatikan bahawa terdapat kebenarannya kerana ubat-ubatan yang dilindungi oleh paten selalunya lebih mahal daripada harga ubat-ubatan generik.
Bagaimanapun, perlu juga ditarik perhatian bahawa paten bagi ubat-ubatan akan hanya dilanjutkan sekiranya terdapat kelewatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa harta intelek dan pihak berkuasa farmasi di sesuatu negara. Dan tempoh masa lanjutan, jika diteliti FTA di antara Singapura dan AS, tidak akan melebihi dari tiga tahun, bermakna tempoh perlindungan paten hanyalah dilanjutkan secara maksimum kepada 23 tahun, berbanding dengan tempoh biasa iaitu 20 tahun.
Di bawah FTA di antara Singapura dan AS contohnya, terdapat syarat-syarat yang ketat sebelum setiap permohonan diluluskan.
Secara realitinya, Malaysia tidak mempunyai satu industri farmasutikal yang mampu mengeluarkan ubat-ubatan yang dipatenkan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanya mampu mengeluarkan ubat-ubatan generik untuk pasaran tempatan.
Oleh yang demikian, mungkin perlu difikirkan secara serius mengenai dasar berkaitan dengan industri farmasutikal. Sekiranya kita ingin terus berharap kepada industri generik maka kita sudah pasti akan mempertahankan status quo.
Namun terdapat ubat-ubatan yang dipatenkan yang menjadi keperluan masyarakat dan terdapat kemungkinan di mana syarikat farmasutikal luar akan menghadkan kemasukan ubat-ubatan yang penting ke negara kita hanya kerana dasar paten kita yang tidak disenangi.
Kebanyakan ubat-ubatan berpaten adalah ubatan-ubatan untuk membantu menyembuhkan penyakit kronik seperti kanser berbanding dengan penyakit-penyakit yang lebih umum.
Dasar paten ini juga akan mempengaruhi kadar pencapaian penciptaan dan inovasi dalam sektor kajian serta pembangunan berkaitan farmasutikal di Malaysia. Mereka yang terlibat dalam sektor ini akan berubah arah ke negara lain yang didapati memberi perlindungan yang lebih baik.
Kekurangan kemasukan industri berkaitan kajian dan pembangunan akan mengurangkan daya saing Malaysia dalam industri farmasutikal dan usahawan Melayu akan sukar atau tidak menceburi bidang ini kerana kekurangan pengiktirafan.
(c) Industri Perkhidmatan
Dasar perindustrian Malaysia yang menyasarkan industri perkhidmatan akan menjadi pemangkin terpenting ekonomi negara. Industri perkhidmatan termasuk industri perkhidmatan profesional seperti khidmat guaman dan perakaunan, perkhidmatan perhotelan dan katering, pembinaan dan lain-lain. Industri perkhidmatan mempunyai kadar nilai tambah yang tinggi dan dapat membawa pulangan yang besar kepada mereka yang terlibat dalam industri berkaitan.
Salah satu kesan daripada FTA seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ialah pembukaan pasaran. Ini bermakna setiap negara yang menandatangani FTA seperti TPP akan terpaksa membuka pasaran kepada pembekal perkhidmatan dari Malaysia sebagaimana negara kita kemudiannya perlu membuka industri perkhidmatan kepada negara anggota FTA dan TPP yang lain.
Ini bermakna manfaat yang diperolehi adalah secara timbal balik dan bukan sebelah pihak sahaja. Ini juga bermakna TPP akan membuka pasaran yang lebih luas kepada pembekal perkhidmatan dari Malaysia dan bukan hanya kepada pembekal perkhidmatan ke Malaysia sahaja.
Ini adalah satu cabaran yang besar kepada usahawan Melayu dan Bumiputera yang ingin maju dan berdaya saing dalam bidang ini. Untuk berdaya saing, usahawan Melayu dan Bumiputera tidak lagi boleh berpeluk tuboh dan berpuas hati setakat dengan pencapaian sedia ada tetapi perlu meningkatkan kemahiran, pengetahuan, inovasi dan ilmu berkaitan untuk berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Tidak kurang anak Melayu yang boleh menembusi pasaran antarabangsa dengan membekalkan perkhidmatan kepada masyarakat antarabangsa, termasuk penulis sendiri. Tidak kurang syarikat yang diterajui oleh anak Melayu seperti Axiata, Alam Maritim dan Scomi yang berdaya saing dan berkecimpung di bidang masing-masing di pasaran global.
Usahawan Melayu perlu mengambil peluang ini kerana industri perkhidmatan adalah berasaskan pengetahuan dan tidak memerlukan modal yang besar berbanding dengan pengeluaran barangan serta membolehkan usahawan Melayu mengukir nama di persada antarabangsa.
Justeru, usahawan Melayu perlulah melengkapkan diri dengan kemahiran bertutur dan berkomunikasi di dalam pelbagai bahasa, di samping kemahiran pengurusan dan inter-personal untuk membolehkan pemasaran yang berkesan. Industri perkhidmatan perlu dilihat sebagai satu peluang untuk usahawan Melayu dan Bumiputera untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan usahawan dari negara-negara lain.
(d) Kontrak Kerajaan
Kontrak bekalan kerajaan adalah satu bidang yang amat sensitif tetapi lumayan dan ini merupakan crown jewel yang ingin direbut oleh pelbagai pihak termasuk dari negara-negara TPP. Adalah tidak menghairankan terdapat tidak sedikit rasa kerisauan dan ketakutan kalangan usahawan Melayu dan Bumiputera yang telah sekian lama mendapat beberapa keistimewaan daripada kontrak-kontrak kerajaan.
Namun demikian, perlulah difahami bahawa kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membuka kontrak kerajaan untuk dibida tanpa had oleh semua peniaga dan pembekal dari negara anggota TPP.
Persepsi bahawa pasaran akan terbuka tanpa had adalah satu tanggapan yang salah. Malaysia boleh membina satu sistem di mana peniaga luar negara cuma akan diberi peluang membida projek tertentu dan bernilai tinggi atau memerlukan kemahiran tinggi sahaja. Kerajaan masih boleh meneruskan sistem sedia ada seperti menghadkan bidaan kepada usahawan Bumiputera untuk projek dalam lingkungan nilai yang tertentu.
Dengan terbukanya pasaran kontrak kerajaan di Malaysia, usahawan kita juga akan dapat membuat bidaan di pasaran kontrak kerajaan di negara-negara anggota TPP yang lain. Di samping itu, usahawan Melayu dan Bumiputera sepatutnya merebut peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan pembekal dari luar negara bagi membida kontrak kerajaan di Malaysia dan di negara-negara lain.
Antara faedah lain hasil daripada TPP berkaitan dengan kontrak kerajaan adalah peningkatan kadar ketelusan dalam proses pembidaan dan ini akan dapat mengurangkan ketirisan dan persepsi rasuah atau salah laku dalam kalangan pihak pemberi kontrak.
Penutup
Secara keseluruhan, TPP merupakan suatu FTA yang melibatkan banyak negara (11 negara setakat 1 Jun 2013) yang membawa banyak kebaikan jangka panjang kepada usahawan Melayu dan Bumiputera. TPP adalah satu perkara baru kepada banyak pihak dan sudah pastilah terbit pelbagai persoalan serta banyak pihak yang merasa takut menerima kenyataan bahawa telah tiba masa untuk usahawan Melayu dan Bumiputera bersaing di pasaran global.
Usahawan Melayu dan Bumiputera tidak boleh menafikan kenyataan ini dan seharusnya menerima hakikat sekiranya mereka masih tidak bersedia, mereka akan tenggelam dihanyutkan oleh arus globalisasi yang tidak dapat dibendung lagi.
Oleh yang demikian penulis ingin mengusul agar usahawan Melayu dan Bumiputera mengambil inisiatif seperti yang berikut:
n Sentiasa berinteraksi atau berdialog dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta kementerian berkaitan untuk memberi buah fikiran dan juga mencadangkan bidang-bidang ekonomi yang seharusnya diletakkan di atas meja rundingan sebagai sebahagian daripada offensive interest Malaysia dan membawa faedah kepada negara kita. Offensive Interest bermakna apa yang kita mahukan daripada negara-negara yang berunding dengan Malaysia.
n Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan usahawan Melayu dan Bumiputera bagi bersiap sedia serta membolehkan mereka mengenal pasti bidang-bidang yang mereka boleh berdaya saing di peringkat global.
n Meningkatkan kadar kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka bersaing dengan usahawan dari luar.
n Mengenal pasti bidang-bidang tertentu yang memerlukan bantuan teknikal yang boleh dipohon dari negara-negara TPP yang lebih maju.
Sesungguhnya TPP boleh dijadikan sebagai batu loncatan yang seterusnya dapat menyediakan peluang kepada usahawan Melayu dan Bumiputera untuk lebih maju, meningkatkan daya saing, pengetahuan dan nilai tambah dengan menjadi jaguh di pasaran global dan bukan selamanya menjadi jaguh kampung semata-mata.
Inilah masanya untuk berbangga bahawa 'Melayu Boleh'. Inilah masanya untuk berubah, jika tidak, sudah pasti kita akan selamanya menjadi bangsa yang ketinggalan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130622/re_01/Peluang-TPP-kepada-usahawan-Melayu#ixzz2XBOknbVc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment