ARKIB : 07/05/2014
KUCHING 6 Mei - Kerajaan tidak akan menghapuskan cukai jualan negeri yang sudah dikuatkuasakan di Sarawak dan Sabah apabila melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, hal demikian kerana cukai jualan itu sudah termaktub dalam Perkara 95B(3), Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, cukai jualan di Sabah dan Sarawak kini hanya dikenakan ke atas minyak sawit mentah (CPO) dengan kadar 10 peratus manakala aktiviti perjudian 15 peratus.
Cukai jualan peringkat negeri ini merupakan hak kerajaan Sarawak dan Sabah berdasarkan Enakmen Cukai Jualan Negeri Sabah 1998 dan Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998.
Ini bermakna cukai jualan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak akan tetap berkuat kuasa seperti mana sekarang," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat mengenai GST peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini semalam.
Ditanya mengenai cadangan GST yang dikutip di Sabah dan Sarawak dikembalikan kepada negeri, Ahmad memberitahu, perkara sedemikian sebenarnya tidak berbangkit.
Katanya, pada masa ini, cukai yang dikutip akan dimasukkan terus ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.
Jelasnya, menerusi kumpulan wang tersebut, setiap negeri berhak menerima peruntukan tahunan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, GST akan dikuatkuasakan ke atas 689 barangan dan daripada jumlah itu hanya 73 atau 10 peratus dijangka mengalami kenaikan harga.
Sebanyak 287 atau 42 peratus jenis barangan lagi akan mengalami penurunan harga manakala 329 atau 48 peratus barangan tidak berubah.
Pada masa ini, kita juga sedang melakukan kajian ke atas 255 barangan dan belum dapat diputuskan lagi," katanya.
Ahmad menambah, kerajaan juga akan menerbitkan risalah panduan pembeli yang mengandungi harga dan cukai bagi 1,000 jenis barangan pada Januari tahun depan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan peniaga menipu pengguna dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140507/dn_20/Cukai-jualan-di-Sabah,-Sarawak-diteruskan#ixzz31B3AIfvC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment