GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 9, 2014

GST kurangkan perbezaan pendapatan rakyat


ARKIB : 06/05/2014

ALOR GAJAH 5 Mei - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun depan dijangka dapat mengurangkan jurang perbezaan antara rakyat di kawasan luar bandar dan bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perbezaan itu dapat dikurangkan apabila kerajaan menggunakan dana yang diperoleh daripada kaedah cukai tersebut untuk meningkatkan kehidupan dan pendapatan penduduk di luar bandar.

"Cukai ini sebenarnya tidak membebankan dan adalah tidak relevan jika pelaksanaan GST hendak ditangguhkan sehingga kita menunggu jurang pendapatan antara penduduk di bandar dan luar bandar semakin mengecil.

"Sebenarnya banyak kelebihan melalui pelaksanaan GST kerana wang yang diperoleh akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui pembinaan jalan-jalan baharu di samping wujud banyak Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Canselori dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej RISDA dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di kampus kolej itu di Paya Pa’abas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah RISDA yang juga Pengerusi Kolej RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad; Ketua Eksekutif Kolej RISDA, Datuk Dr. Faridah Hanam Mohd. Rashid dan Presiden OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Mohd. Shafie mengulas kenya­taan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyifatkan GST belum sesuai dilaksanakan di negara ini kerana wujud ketidakseimbangan pendapatan antara penduduk luar bandar dan bandar.

Menurut Mohd. Shafie, RTC di Wakaf Che Yeh, Kelantan telah membawa perolehan tahunan sebanyak RM200 juta kepada rakyat dan itu adalah salah satu cara yang dilihat lebih berkesan untuk merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar.

"Menerusi GST, kita mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan rakyat, kita mesti segera mengambil peluang ini dan mengapa kita perlu tunggu," katanya.

Mohd. Shafie berkata, beliau tidak menafikan GST mempunyai beberapa kesan negatif tetapi secara keseluruhannya lebih memberi manfaat kepada orang ramai.

Jelasnya, pengecualian cukai ke atas barangan makanan tertentu boleh meringankan beban rakyat dan kemudiannya mengurangkan kesan ke atas pendapatan rakyat.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment