GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Bantah GST: Dengarlah suara rakyat

MAY 06, 2014

Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.

Himpunan Bantah GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) di ibu negara yang dihadiri hampir 100,000 rakyat pelbagai kaum 1 Mei lalu adalah isyarat yang sangat jelas rakyat menentang kedatangan GST itu yang dikira sangat membebankan mereka yang berpendapatan rendah.

Malah badan penyelidik bebas, Merdeka Center mendedahkan sebanyak 62% rakyat Malaysia tidak menyokong pelaksanaan cukai kontroversi GST.

Kaji selidik melibatkan seramai 1,009 orang itu dibuat pada bulan lalu, malah 33% daripada responden tidak memahami mengenai GST. Tetapi sebagai reaksi spontan ada pemimpin politik kerajaan dengan angkuh berkata GST akan diteruskan juga. Ini kesombongan yang merasakan pihaknya sangat berkuasa.

Ia tidak sedar kerajaan Barisan Nasional (BN), dalam PRU yang lalu, hanya mendapat undi 48%, sementara Pakatan Rakyat mendapat 52% undi popular. Sepatutnya pemimpin kerajaan mendengar bantahan rakyat kerana mereka yang merasakan kesan cukai itu secara lansung di mana orang kaya, atau orang kaya-kaya dan orang besar tidak akan merasakan kesan GST ini.

Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan akan melaksanakan GST mulai 1 April 2015, iaitu dalam tempoh setahun lagi. Mengapa rang undang-undang ini dibentangkan awal. Adakah kerana menjelang Himpunan Anti GST 1 Mei itu.

Golongan ternama dan hidup mewah ini segalanya percuma, bayaran perubatan percuma dan semuanya percuma, sama ada ditanggung oleh kerajaan mahupun syarikat besar di mana mereka menjadi bos.

Maka, rakyat biasa - buruh, petani, nelayan, pekebun kecil, pegawai rendah dan kerani biasa akan menanggung beban dengan cukai bentuk baru ini. Justeru tidak ada yang percuma bagi mereka, semuanya dibayar sendiri. Wang BR1M RM650 untuk mengurangkan beban setahun, di mana logiknya.

Menurut kajian, golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana masih lagi menjadi kelompok terbesar rakyat di negara ini.

Sebab itu, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, keadaan itu menyebabkan rakyat berpendapatan rendah terpaksa membayar jumlah cukai yang sama rata dengan golongan berpendapatan menengah bagi memperoleh barangan atau perkhidmatan yang sama.

"Kepada saya, apabila tiba masa tertentu baru GST boleh dilaksanakan tetapi bukan sekarang. Masih wujud jurang pendapatan yang jauh, jadi orang yang dikenakan cukai berpendapatan RM1,000 sama jumlahnya dengan orang berpendapatan RM30,000 sebulan. Apabila orang yang kurang duit dikenakan cukai, mereka merasakan beban lebih besar daripada golongan berpendapatan tinggi,” katanya.

Saya tertarik dengan pandangan Dr Syed Husin Ali GST cukai banyak peringkat yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan yang digunakan. Barang dan perkhidmatan itu boleh dibuat atau dikeluarkan dalam ataupun luar negara. Tetapi ia tidak termasuk yang dieksport.

Yang dimaksudkan dengan cukai dikenakan banyak peringkat, katanya, ialah cukai tidak dikenakan hanya pada peringkat akhir, iaitu semasa dibeli untuk penggunaan. Bahkan sebaliknya, cukai dikenakan pada setiap peringkat dalam rantai bekalan dari kilang hingga sampai kepada peruncit dan pengguna.

Syed Husin menyebut senarai beberapa produk yang tidak dikenakan cukai GST - daripada beras dan tepung hingga belacan dan cencalok.Tetapi, katanya, ini cuma pembebasan cukai pada peringkat akhir saja. Pada semua peringkat pengeluaran sebelumnya cukai sudah dikenakan. Contohnya, untuk pengeluaran beras cukai dikenakan untuk jentera membajak, baja digunakan, minyak untuk pengangkutan. Begitu juga dengan produk lain.

Baginya, GST adalah satu jenis cukai yang regresif. Ertinya bebannya adalah lebih berat semakin rendah pendapatan, ringan bebannya bagi golongan kaya dan berat bagi golongan miskin. Sudah tentulah ini tidak adil, katanya.

Contoh yang diberikan oleh Syed Husin ialah beban cukai bagi mereka berpendapatan RM10,000 sebulan yang berbelanja RM5,000 adalah lebih ringan daripada bagi orang berpendapatan RM3,000 yang berbelanja RM2,500 untuk barang dan khidmat yang digunakan.

Perdana menteri menyebut, kadar cukai GST ialah sebanyak 6%, walaupun ini tidak disebut dalam rang undang-undang ini. Bererti orang yang berbelanja RM5,000 akan membayar cukai sebanyak RM300 daripada pendapatan mereka RM10,000, manakala yang berbelanja RM2,500 akan membayar cukai RM150 daripada pendapatan RM3,000 mereka. Katanya, tidak sepatutnya negara ini membebankan semua rakyat, terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah, dengan memungut cukai melalui GST. Ada pelbagai cara lain untuk menambah cukai, tetapi ini belum dikaji.

Antaranya, kata Syed Husin ialah: mengenakan kadar cukai khusus ke atas syarikat yang terlibat dengan industri 'berdosa' seperti rokok, minuman keras dan perjudian; cukai ke atas keuntungan besar yang diperolehi secara mendadak (windfall profit tax); menyelaraskan cukai supaya lebih progresif dengan mengenakan cukai lebih tinggi kepada yang paling kaya.

Baginya, sebenarnya GST tidak wajar dikenakan apabila masih meluas berlakunya rasuah atau ketirisan.

Pelbagai pandangan dengan pelbagai hujah dari plbagai pihak mengenai GST ini. Mereka terdiri daripada ahli ekonomi, ahli akadamik, pemimpin NGO dan pmimpin politik serta rakyat prihatin. Kebanyakannya menentang dan bimbang dengan kedatangan GST ini. Ada juga yang hanya ragu-ragu dan tidak faham.

GST memang bukan hantu seperti Dracula yang menghisap darah manusia, tetapi ia sistem ekonomi dan undang-undang yang akan mendera rakyat, terutama berpendapatan rendah dan sederhana, maka ia wajar ditentang kerana ia hanya menguntungkan kapitalis, terutama yang mnguasai industri ubat-ubatan di Amerika.

Sebab itu pemerintah perlu mendengar bantahan rakyat terhadap GST ini.

Saya teringat kata-kata bekas Presiden Amerika, Thomas Jefferson:

"When the people fear the government there is tyranny, when the government fears the people there is liberty." – 6 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment