GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

GST mampu rapat jurang pendapatan


Publication: BH
Date of publication: May 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 012
Byline / Author: Oleh Amir Mamat

Alor Gajah: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun depan dijangka mampu merapatkan jurang pendapatan antara rakyat di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini kerana menerusi sistem percukaian yang tersusun dan berkesan dalam GST, negara bakal memperoleh pendapatan lebih tinggi setiap tahun.

Beliau berkata, susulan itu hasil pendapatan negara dapat disalurkan dengan berkesan bagi menambah baik kehidupan, seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, cadangan pihak tertentu supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan GST sehingga jurang pendapatan antara rakyat diselesaikan adalah tidak relevan kerana cukai itu sendiri boleh merapatkan jurang berkenaan.

"Tindakan itu (merapatkan jurang pendapatan) yang membabitkan rakyat, terutama di kalangan masyarakat di bandar dan luar bandar perlu dilakukan segera tanpa perlu menunggu faktor lain yang boleh menghalang pelaksanaan GST.

"Kita tak perlu tunggu apa-apa lagi (kerana) melalui GST, kita mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan rakyat. Kenapa perlu kita tunggu sedangkan masa depan rakyat yang lebih cerah sudah terbentang di hadapan kita," katanya selepas merasmikan bangunan Canselori Kolej RISDA dan menyaksikan perjanjian persefahaman antara kolej itu dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM), di sini semalam.

Tunai banyak janji

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad; EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohd Zuki Mohamad.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, selepas setahun membentuk kerajaan, Barisan Nasional (BN) berjaya menunaikan banyak janji kepada rakyat, terutama membabitkan soal kebajikan dan pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, ia ditambah dengan penyaluran insentif berupa wang tunai menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

"Alhamdulillah, rakyat memberi sokongan kepada kita untuk meneruskan pembangunan. Setahun sudah berlalu, banyak janji sudah dikotakan walaupun ada yang masih menunggu (untuk dilaksanakan), insya-Allah kita akan tunaikan," katanya.

Mengulas pencapaian setahun BN membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU1-3) awal Mei lalu, beliau berkata sebagai pemerintah, BN bukannya parti yang hanya pandai melemparkan janji kepada rakyat bagi mengaburi mata mereka, sebaliknya badan yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

"Kita sebagai pemerintah bukan menjanjikan sesuatu yang kosong, tidak menjanjikan air percuma (kepada rakyat) tetapi kita janji untuk membekalkan air kepada rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment