GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Pelaksanaan GST menepati prinsip dalam Islam


ARKIB : 01/05/2014

Asyraf Wajdi
PULAU PINANG 30 April - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menepati prinsip dalam Islam iaitu memastikan sumber-sumber berlebihan daripada mereka yang berkeupayaan dapat disalurkan semula kepada masyarakat secara keseluruhan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan cukai itu memboleh­kan kerajaan memperoleh sumber pendapatan bagi mengurus serta mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pengenalan cukai juga bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah tamadun Islam yang mana Saidina Umar al-Khattab sendiri pernah memperkenal cukai tertentu sewaktu zaman pemerintahan beliau sebagai perolehan membangunkan empayarnya.

“GST merupakan sebahagian sumber kerajaan untuk dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan prasarana, kemudahan awam, gaji kakitangan awam dan sebagainya.

“Sebab itu, saya tidak setuju apabila terdapat pihak tertentu dengan mudah menjatuhkan hukum kononnya GST haram sedangkan cukai seperti ini bukan baharu diperkenalkan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Dakwah Negara dan Sambutan Bulan-Bulan al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Menurut Asyraf Wajdi, GST me­rupakan cukai yang lebih adil kerana pihak yang sepatutnya membayar cukai terutama dalam kalangan pemain industri tidak terlepas daripada melaksana tanggungjawab itu.

Daripada sudut keuntungan kepada rakyat pula, kata beliau, GST akan memastikan harga akhir barangan menjadi lebih murah kerana cukai yang dikenakan hanya sekali berbanding cukai di setiap peringkat pemprosesan seperti sebelum ini.

“Malah pihak yang terlibat dalam setiap rantaian ekonomi itu juga perlu mendaftar dengan kerajaan untuk mendapatkan rebat sekali gus mengelak mereka memindahkan kos operasi kepada pengguna," katanya.

Tambah beliau, secara logik sekiranya GST membebankan pengguna, kaedah percukaian itu tidak akan diteruskan di lebih 160 buah negara seperti ketika ini.

Malah Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menempelak pembangkang yang berterusan menghasut rakyat menentang pelaksanaan GST dengan menyembunyikan fakta sebenar.

“Jika benar pembangkang menentang pelaksanaan GST, mereka sepatutnya menarik balik semua cukai-cukai yang dikenakan di ne­geri yang ditadbir mereka," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment