ARKIB : 06/05/2014
KUALA LUMPUR 5 Mei - Semua pihak perlu bersama-sama dalam memastikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada tahun depan mencapai aspirasinya dan tidak dimanipulasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberikan buah fikiran dan nasihat agar cabang eksekutif dapat melaksanakan GST dengan bersungguh-sungguh.
Kata beliau, ini memandangkan tanggungjawab untuk melaksanakan cukai tersebut oleh cabang eksekutif adalah sangat berat kerana GST terdedah dengan risiko manipulasi oleh golongan yang gemar mengambil kesempatan serta gejala rasuah 'tumbuk rusuk'.
"GST adalah amalan yang baik. Adakah 160 negara yang mengamalkannya seluruh dunia salah? Mengambil tuah daripada yang menang, mengambil contoh daripada yang sudah.
"Kita pun sedar bahawa cadangan pelaksanaan GST telah dibincangkan sejak lebih satu tahun lalu tetapi kerana kerajaan amat prihatin dengan rakyat, maka dilanjutkan pada tahun depan. Ini maksudnya kerajaan sudah pun mengkajinya selama lebih setahun," katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 di Dewan Negara di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Firdaus menjelaskan, soal penerimaan GST kini sudah tidak timbul lagi tetapi yang perlu ditekankan adalah kaedah pelaksanaannya.
Kata beliau, setakat ini, pihak pembangkang tidak mengemukakan sebarang alternatif konkrit dalam menggantikan pelaksanaan cukai berkenaan.
Sehubungan itu, langkah paling relevan perlu dilakukan kerajaan adalah dengan sentiasa memantau pelaksanaan GST bagi membendung pihak yang mengambil kesempatan.
"Pada masa sama, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang untuk menjamin pelaksanaan GST berjaya," kata beliau.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140506/pa_04/Bersama-pastikan-GST-berjaya#ixzz31B2B3d6p
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment