GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 9, 2014

Pakar ekonomi: Pelaksanaan GST perlu ada tempoh percubaan


May 8, 2014

Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata tempoh percubaan itu perlu bagi melihat pelaksanaan CBP tidak hanya menguntungkan pihak tertentu dan memberi tekanan kepada pengguna.

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2015 wajar melalui fasa percubaan terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Pakar ekonomi di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata tempoh percubaan itu perlu bagi melihat pelaksanaan CBP tidak hanya menguntungkan pihak tertentu dan memberi tekanan kepada pengguna.

“Perkara yang menjadi kerisauan rakyat khususnya pengguna ialah dengan adanya GST (CBP), pasti akan ada ejen atau pihak yang meminta pengecualian cukai dan memindahkan cukai tersebut kepada pengguna.

“Sebagai pengguna memang wajar ada kebimbangan sekiranya pihak pengeluar, pemborong dan penjual meletakkan perpindahan cukai kepada mereka dan mengakibatkan mereka perlu membayar lebih daripada kadar enam peratus yang ditetapkan,” katanya.

Belum cuba, belum tahu

Dr Amir Hussin berkata selagi belum dilaksanakan, kesan CBP masih belum dapat dilihat dan dirasai.

“Ada pihak yang berpendapat kadar enam peratus untuk permulaan terlalu tinggi namun saya berpendapat jika kita tak mula lagi (GST) macam mana kita nak tahu kadar itu tinggi atau rendah. Kita laksana dulu dan tengok kesesuaiannya.

“Sistem ini mungkin akan terdapat beberapa kelemahan pada permulaannya. Rakyat perlu bersabar dan memberi teguran membina agar penambahbaikan boleh dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2014, Oktober lepas berkata kerajaan mendapati Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus pada masa ini, mempunyai kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga.

Justeru, kerajaan akan memperkenalkan CBP dengan kadar enam peratus bermula 1 April 2015 bagi menggantikan SST yang kini dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan tertentu.

Banyak pengecualian

Mengenai beberapa pengecualian CBP, Dr Amir Hussin berkata rakyat seharusnya realistik mengenai barangan yang dikenakan CBP dan memahami matlamat CBP yang dicadangkan kerajaan.

“GST (CBP) yang akan dilaksanakan nanti ada banyak pengecualian, tetapi rakyat jangan nak harap semua barang dan perkhidmatan ada pengecualian kerana jika dikecualikan semuanya, tak perlulah ada GST (CBP),” katanya.

Beberapa barangan makanan asas antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, cili, rempah ratus, ikan masin, pekasam, cencaluk, budu dan belacan serta bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik dikecualikan daripada CBP.

Selain itu, CBP juga tidak dikenakan terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah.

Turut dikecualikan adalah perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih.

Sistem invois

Sementara itu, Pensyarah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohamad Hanapi Mohamad berkata negara yang berjaya melaksanakan CBP merupakan negara yang sudah memperkenalkan sistem ‘invoicing’ (resit invois)
bagi setiap transaksi perniagaan mereka.

Katanya penguatkuasaan ‘invoicing’ sangat berkesan kerana mampu membentuk sistem yang lebih telus dan bertanggungjawab selepas audit dilakukan terutama terhadap pengimport dan pengilang.

“GST (CBP) difokuskan kepada pengeluar barangan dan perkhidmatan. Oleh itu, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan GST (CBP) kepada pengguna kerana setiap aktiviti direkodkan melalui resit invois.

“Kita bimbang sekiranya pengeluar memindahkan GST (CBP) kepada pengguna terakhir, maka kos akan meningkat dan kita akan dilihat sebagai tidak efisyen dalam mengamalkan sistem ini,” katanya.

Beliau berpendapat CBP mampu meningkatkan pendapatan negara selain daripada cukai pendapatan dan cukai korporat serta berupaya mengurangkan permasalahan fiskal.

Perkemas sistem urus niaga

Katanya negara perlu memperkemaskan sistem urusniaga di semua peringkat kerana dengan adanya sistem penguatkuasaan dan penyampaian yang telus dan bertanggungjawab akan mendorong kepada kejayaan CBP.

“Kerajaan juga perlu memastikan rakyat yang wajib membayar cukai tidak melarikan diri. Cara memastikan rakyat membayar cukai ialah dengan tidak membebankan mereka dengan pelbagai jenis cukai, maka ‘take-home income’ (pendapatan bersih) mereka akan meningkat sekaligus turut memberi kesan kepada kuasa beli.

“Apabila kuasa beli meningkat, ia akan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya, sambil menyatakan bahawa terdapat tiga kumpulan utama yang berperanan bagi memastikan kejayaan CBP
iaitu kerajaan, pengeluar/pembekal dan pengguna.

Mohamad Hanapi berkata antara cabaran yang perlu ditangani ialah memberi kefahaman mengenai CBP, memastikan CBP berjalan lancar serta memberi keadilan kepada pengguna kerana tahap kefahaman dan aktiviti ekonomi di antara tiga kumpulan tersebut adalah berbeza.

Lebih kompetitif

Ketua Penolong Setiausaha CBP, Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Ezleezan Othman berkata rakyat tidak seharusnya bimbang dengan pelaksanaan CBP sebaliknya menyambut baik terutama ketika berhadapan kos sara hidup yang kian meningkat.

Katanya dengan penstrukturan yang dirancang kerajaan, CBP boleh membuatkan harga sesuatu barang itu rendah atau lebih kompetitif.

“Sekarang sudah ada cukai jualan pada kadar lima peratus, 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus. Secara asasnya, apabila GST (CBP) dilaksanakan, kedua-dua cukai ini akan dimansuhkan dan digantikan dengan satu
cukai sahaja yang dikenakan pada kadar enam peratus.

“Dengan pemansuhan cukai jualan dan cukai perkhidmatan, kita akan menghapuskan unsur-unsur negatif yang menyebabkan harga barangan di Malaysia mahal atau tidak kompetitif. Di era GST (CBP), pengguna akan membayar dengan harga yang lebih telus,” katanya.

Ezleezan turut menerangkan bahawa CBP merupakan sistem percukaian lebih adil, iaitu orang yang berkemampuan akan membayar lebih berbanding orang yang kurang berkemampuan.

Menerusi CBP yang lebih efektif, hasil negara akan bertambah dan kerajaan pastinya akan memulangkan hasil kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan bantuan terutama kepada golongan yang memerlukannya.

Corak perbelanjaan

Mengenai kesan CBP terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Ezleezan berkata kajian terhadap corak perbelanjaan golongan berpendapatan rendah mendapati barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan CBP merangkumi kira-kira 60 sehingga 70 peratus perbelanjaan bulanan mereka.

“GST sebenarnya akan ditanggung dalam kadar yang besar oleh golongan berpendapatan tinggi. Boleh disimpulkan, GST yang bakal dilaksanakan nanti tidak akan memberi bebanan kepada golongan berpendapatan sederhana.

“Besar atau rendah bebanan GST yang bakal ditanggung seseorang itu adalah bergantung kepada corak perbelanjaan mereka. Jika seseorang berbelanja banyak ke atas barang atau perkhidmatan yang dikenakan GST, maka besarlah kadar yang perlu dibayar,” katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment