GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

GST demi mantapkan negara


ARKIB : 02/05/2014
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
dan SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan penjawat awam selepas merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Seri Wawasan Jitra, Kubang Pasu, Kedah, semalam. Turut kelihatan Mukhriz Tun Mahathir. - BERNAMA
KUBANG PASU 1 Mei - Datuk Seri Najib Razak menegaskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah kerajaan untuk memantapkan hasil demi menjamin masa depan negara dan kebajikan rakyat.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya berfikir secara rasional dan bukan mengikut perasaan berhubung pelaksanaan GST walaupun ada pihak membuat bantahan mengenainya di ibu negara hari ini.

Katanya, GST adalah keperluan supaya negara tidak berdepan himpitan ekonomi pada masa depan yang akhirnya mengundang kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.

"Proses ini mesti kita teruskan kerana kalau kita tidak buat perubahan, maka kita akan berdepan himpitan kepada ekonomi yang akhirnya boleh membawa kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.

"Sebab itu GST akan dapatkan hasil yang mantap untuk kerajaan. Saya minta kepada semua supaya memahami akan 'nawaitu' (niat) kerajaan. 'Nawaitu' kerajaan adalah untuk melakukan perubahan," katanya.

Beliau berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Seri Wawasan Jitra di sini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, langkah memperkenalkan GST yang dijangka dilaksanakan pada April tahun depan juga bertujuan mengupayakan kemampuan kewangan kerajaan agar lebih kukuh, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Sebagai kerajaan, kita perlu lakukan kedua-duanya. Kita perlu sebuah ekonomi yang ada kemampuan kerajaan, keyakinan dunia kepada kita bertambah dan ekonomi kukuh berkembang. Kita perlukan pasaran modal yang lebih memberangsangkan, kalau ini terjadi penambahan pelaburan akan berlaku.

"Saya percaya kalau kita fikir rasional, kita faham setiap dasar yang kerajaan buat bertujuan untuk kebaikan rakyat. Jangan lihat dalam tempoh sehari dua. Inilah pertimbangan yang harus ada pada kita," katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak menjanjikan sesuatu perkara yang tidak mungkin dapat ditunaikan semata-mata untuk meraih sokongan atau populariti tanpa memikirkan kemudaratan.

"Bila nak buat sesuatu kita timbang dengan teliti dan gunakan pertimbangan adil. Kalaulah Presiden CUEPACS hendak elaun diperbaiki, gaji ditambah, maknanya kita perlu kepada hasil bertambah. Dari mana nak mencari dananya kalau tak ada hasil untuk nak biaya pertimbangan ini," katanya.

Jelasnya, pertimbangan seumpama itu oleh kerajaan telah membawa kejayaan kepada negara walaupun dunia kini berhadapan krisis ekonomi.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment