GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Mulakan pembaharuan Dewan Negara segera – Mohammad Syahmi Zurhan

MAY 07, 2014

Semalam Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Rahsia umum ialah Dewan Negara hanya berfungsi sebagai "rubber stamp" kepada badan eksekutif. Sangat mengecewakan walaupun berusia hampir 55 tahun, Dewan Negara tidak mampu memberi impak seperti yang dimahukan sistem Parlimen Dwi-dewan.

Sistem dwi-dewan yang berasal dari England ini bermula apabila Raja England memanggil bangsawan dan agamawan bersidang bagi mendapatkan nasihat pemerintahan, manakala memanggil kesatria dan wakil tempatan bagi mengenakan cukai baru. Bertitik tolak daripada persidangan inilah terbentuknya House of Lords dan House of Commons di England yang menjadi ikutan negara Komenwel.

Dewan Negara di Malaysia

Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi juga mengamalkan sistem Parlimen Dwi-dewan. Dewan rendah di Malaysia dikenali sebagai Dewan Rakyat manakala dewan tinggi di Malaysia dikenali sebagai Dewan Negara. Tidak seperti Dewan Rakyat yang semua ahlinya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya, ahli Dewan Negara atau dikenali sebagai senator dilantik oleh Dewan Undangan Negeri dan sebahagian besarnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat perdana menteri.

Melalui sistem sekarang, setiap negeri di Malaysia boleh menghantar dua wakil ke Dewan Negara, manakala selebihnya ialah pelantikan Agong. Ketika Malaysia ditubuhkan keanggotaan Dewan Negara ialah 50 orang iaitu 28 mewakili 14 Dewan Undangan Negeri dan 22 dilantik oleh Agong. Beberapa siri pindaan perlembagaan dilaksanakan berkait dengan bilangan ahli dilantik Agong sehingga yang terakhir dengan 44 dilantik mewakili Agong dan persekutuan.

Pembaharuan ke atas Dewan Negara

Dewan Negara perlulah kembali kepada fungsi asal penubuhannya iaitu sebagai dewan semak dan imbang kepada Dewan Rakyat. Malahan Dewan Negara masih kekal relevan dalam kerangka sistem politik negara terutamanya mutakhir ini. Tetapi perlu ada pembaharuan dan tindakan drastik bagi mengembalikan kegemilangan dan keunggulan Dewan Negara sebagai badan perundangan negara. Antara penambahbaikkan yang boleh dilakukan ialah:

1.Menambahkan keahlian wakil negeri dan mengurangkan keahlian dilantik Agong

Sebenarnya dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 45(4) memperuntukkan melalui undang-undang (a) menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi setiap negeri menjadi tiga; (b) memperuntukkan ahli yang akan dipilih bagi setiap negeri dipilih melalui undi terus oleh pemilih negeri itu; (c) mengurangkan bilangan ahli dilantik atau menghapuskan ahli dilantik.

Jika menggunakan peruntukan ini terutama Perkara 45(4)(b), Dewan Negara boleh kembali kepada fungsi asal iaitu sebagai sebuah Senate yang menjaga hak setiap negeri dalam Persekutuan. Dengan pelbagai isu berkaitan pencabulan kuasa negeri-persekutuan yang sistematik oleh kerajaan pusat, pembaharuan Dewan Negara ini dapat membantu mengembalikan semangat persekutuan.

2. Melantik ahli yang dilantik Agong berdasarkan undi popular

Satu lagi isu yang menjadi menarik minat pemerhati politik ialah jumlah undi popular tidak menggambarkan jumlah kerusi di Parlimen. Jadi bagi mengatasi masalah ini dan mengekalkan sistem sedia ada,kerajaan boleh mengambil kira jumlah undi popular untuk melantik ahli Dewan Negara. Namun bagaimana melaksanakannya?

Agong berkuasa melantik 40 orang sebagai ahli Dewan Negara namun berdasarkan nasihat perdana menteri. Mengambil pendekatan yang digunakan di Britain di mana walaupun perdana menteri Britain secara tradisinya mempunyai kuasa penuh melantik ahli House of Lords, beliau secara konvensyennya memberi peluang parti pembangkang melantik ahli mereka ke House of Lords.

Perdana menteri Malaysia boleh memperuntukkan sekurang-kurangnya 25 kerusi di Dewan Negara untuk dilantik berdasarkan undi popular. Jadi mana-mana parti yang mendapat 4% undi undi popular dalam PRU akan diberikan satu kerusi di Dewan Negara.

Bagi membolehkan sistem ini berjalan dengan lebih adil,perdana menteri boleh menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Dewan Negara dan menurunkan kuasa nasihat beliau kepada suruhanjaya terbabit. Sebagai kompromi, perdana menteri diberi bonus tiga kerusi bagi beliau melantik sesiapa sahaja terutama teknorat bagi memberi variasi kepada Kabinet beliau. Selebihnya, 12 orang ahli dilantik oleh Agong dengan nasihat Suruhanjaya Pelantikan Dewan Negara bagi mewakili kaum minoriti dan pihak berkepentingan seperti yang dikehendaki Perlembagaan.

Dewan Negara masih boleh kekal relevan dan berfungsi jika kerajaan memulakan langkah pembaharuan. Malah usia Dewan Negara yang akan mencapai 55 tahun pada September tahun ini mewajarkan pembaharuan ini berlaku. Menjadi tanggungjawab kita mengekalkan fungsi dan peranan Dewan Negara sebagai sebuah badan perlembagaan yang berdaulat. – 7 Mei, 2014.

* Penulis adalah pemerhati politik dan pendukung semangat federalism di Malaysia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment