GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Demo anti-GST; jangan jadi budak-budak – Ahmad Tempe

MAY 05, 2014

Penulis E S Ito pernah menyebut bahawa “anak muda adalah kegelisahan derap langkahnya adalah perubahan”.

Catatan ini adalah bertujuan bagi mengingatkan kita tentang beberapa perkara, terutamanya berkenaan dengan himpunan 1 Mei yang lalu.

Jika melihat kepada kronologi dan garis masa politik Malaysia, pasca reformasi memperlihatkan bahawa Malaysia ketandusan gerakan “kuasa ketiga”(third force).

Walaupun terdapat gerakan-gerakan yang berkisar tentang mahasiswa, anak muda, pembebasan dan intelektual yang dicanang sebagai kuasa ketiga, akhirnya jika kita telurusi kembali pasti ada corong-corong yang menjadi justifikasi bahawa terdapat tangan tersembunyi (hidden hand) termasuk parti-parti politik dalam mengerah gerakan ini.

Meskipun masih terdapat gerakan yang bebas, ia masih belum cukup bagi menggerakkan anak muda yang bebas dan tidak berkepentingan.

Namun begitu, baru-baru ini saya selaku pemerhati politik begitu terkejut dengan kehadiran sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan memakai bandana bersama bendera hitam merah yang dikatakan membuat “huru-hara” di Dataran Merdeka ketika himpunan anti-GST berlangsung.

Saya tidak berminat untuk menceritakan tentang gerak-geri serta perlakuan kumpulan anak muda ini kerana gambar serta rakaman aksi mereka tersebar di Internet.

Tetapi, ingin saya ingatkan usahlah kita menjadi seperti budak-budak yang menuding sesama sendiri atas isu yang terlalu kecil.

Pertamanya, saya melihat bahawa terdapat banyak aksi tuduh menuduh di antara parti politik dan juga NGO tentang “tindakan” buruk kumpulan ini.

Tuduhan yang dilemparkan seperti ejen parti “anu”, cawangan khas (special branch), anjing upahan dan seumpamanya tidak sepatutnya berlaku.

Tindakan ini saya kira jelas seperti anak-anak yang dimarahi ibunya kerana memecahkan pasu bunga kemudian menuding kepada adik-adik yang lain walaupun pasu tersebut pecah kerana disepak anjing.

Setelah membuat penelitian, kumpulan ini sebenarnya adalah golongan anak muda bebas yang non-partisan serta terlibat dalam gerakan sub-budaya, seni dan muzik.

Mereka mempunyai kaedah dan fahaman tersendiri dalam menangani isu semasa. Janganlah golongan “old-timer” terus memaki-hamun kerana saya percaya kita semua juga pernah menjadi “muda”.

Keduanya, kekecohan ini saya lihat berlaku kerana perselisihan di antara Unit Amal PAS dan juga kumpulan anak muda tersebut.

Berdasarkan pemerhatian, kekecohan berlaku apabila Unit Amal menghalang tindakan barisan anak muda ini memasuki Dataran Merdeka.

Dalam mengulas isu ini, saya kira haruslah kita membuat perbandingan tentang kapasiti anak muda ini dengan Unit Amal.

Jelas bahawa sebagai salah sebuah badan yang menjaga keselamatan serta kemaslahatan rakyat, Unit Amal sepatutnya bertindak profesional dan bukan terus menghentam anak muda yang “mentah” ini.

Zaman muda adalah zaman di mana mereka semua belajar tentang sesuatu.

Unit Amal sepatutnya menyelesaikan masalah ini dengan kaedah perbincangan (negotiation) dan bukan dengan kekerasan.

Janganlah sebab mereka ini “mentah” kita anggap mereka serba-serbi tidak tahu. Bukankah pemimpin selalu melaung-laungkan generasi muda adalah penggerak zaman?

Seterusnya, perkara yang paling penting dalam catatan ini adalah parti politik harus menerima hakikat bahawa lima ke enam tahun daripada sekarang, kuasa ketiga akan bersama-sama menjadi ejen perubahan dalam politik Malaysia.

Sebagai pemerhati, akar utama masalah ini adalah sikap ego kita terhadap anak-anak muda.

Bahawasanya Perkara 10 menjamin kebebasan rakyat Malaysia untuk turut serta dalam gerak dan langgam politik negara ini.

Setiap daripada kita punyai kebebasan untuk setuju dan tidak setuju.

Rasa “tidak senang” bukanlah lesen ataupun alasan bagi mengharamkan individu lain berekspresi mahupun menghalalkan tindakan keras terhadap kumpulan lain.

Ambillah jalan apa saja untuk berekspresi secara munasabah, tetapi kata kunci di sini ialah “hormat-menghormati.”

Janganlah menjadi jembalang yang melaungkan hak asasi tetapi kesudahannya mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Pilihan paling sukar itu biasanya betul! – 5 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment