GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

GST: Ikhlas sedia bantu kerajaan beri penerangan


ARKIB : 03/05/2014

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) bersedia membantu kerajaan memberi penerangan mengenai pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat, terutama peniaga-peniaga sekitar ibu kota bermula bulan ini.

Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham rakyat mengenai cukai tersebut yang sebenarnya memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Menurutnya, pelaksanaan cukai tersebut perlu disokong oleh rakyat namun disebabkan kurangnya pendedahan mengenai tujuan dan kebaikan, ia menjadi sebaliknya.

“Jika kita kaji terdapat empat kebaikan yang bakal diperoleh melalui pelaksanaan GST iaitu kelancaran sistem pungutan cukai, penambahan jumlah pendapatan negara, pungutan cukai secara menyeluruh dan bayaran berimbang oleh kerajaan.

“Rakyat sebenarnya tidak tahu tujuan sebenar ia diwujudkan bagi mereka cukai hanya akan membebankan kehidupan mereka. Ini tidak benar kerana apabila wujud GST syarikat-syarikat gergasi tidak akan dapat lari daripada membayar cukai dan cukai inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai GST di sini hari ini.

Mengulas mengenai perhimpunan membantah GST di ibu negara semalam, Mohd. Ridzuan berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan terhadap individu yang menyertai perhimpunan tersebut.

Katanya, perhimpunan itu bukan sahaja menyebabkan kekacauan bahkan kerugian terpaksa ditanggung peniaga.

Sementara itu, wakil peniaga di Jalan Masjid India, Datuk Bashir Mohd. Sardar Husin berkata, perniagaan mereka terjejas teruk sehingga 80 peratus akibat perhimpunan itu.

“Setiap kali perhimpunan haram diadakan, perniagaan kami terjejas teruk. Kami berharap kerajaan tidak lagi memberi muka kepada golongan ini," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment