ARKIB : 06/05/2014
Oleh Zulkifli Jalil
SESEKALI ada eloknya kita merenung kembali pepatah orang tua kita dahulu. Ada sebabnya pepatah itu dihasilkan. Ia relevan bukan sahaja pada zaman itu, tetapi selamanya.
Memerhatikan perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka Khamis lalu, kita akan `menggaru-garu kepala yang tak gatal ini'.
Penulis cukup yakin rata-rata yang hadir pada perhimpunan itu tidak faham langsung maksud GST. Apatah lagi kelebihan pelaksanaannya. Sama ada mereka telah dimomokkan oleh `pakar belit' Rafizi Ramli dan Tony Pua dengan `fakta-fakta' salah mengenai GST atau sebilangan rakyat tidak diberi penerangan mengikut `bahasa rakyat' untuk memahami manfaat pelaksanaan GST, itu boleh kita amati kemudian.
Tetapi fakta yang singgah di meja penulis adalah GST yang bakal direncanakan pada 1 April 2015 bertujuan untuk manfaat rakyat seluruhnya yang sudah pun membayar Cukai Jualan & Cukai Perkhidmatan (SST) sejak 1972 lagi.
Namun, cukai SST 5,6 atau 10% itu tidak telus. Maka, kerajaan memperkenalkan GST 6% yang antara kadar terendah di dunia untuk lebih telus dan berkesan. Itu tujuan utama GST, iaitu membaiki sistem cukai negara mengikut 160 atau 83% negara dalam dunia agar ekonomi negara berkembang. Ini kerana eksport tanpa GST menjadi lebih baik harganya dibandingkan eksport dengan SST sekarang. Juga, akhirnya dengan sedikit lebihan hasil yang diperoleh, kerajaan akan mengembalikannya semula untuk manfaat rakyat terbanyak.
Menerusi GST, cukai dikenakan pada pelbagai peringkat bermula dari pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna. Semua hasil pendapatan dan perbelanjaan di pelbagai peringkat ini akan direkod dan dikemaskinikan oleh pihak berkuasa. Unsur-unsur kerenah birokrasi melampau, ketirisan, penyelewengan, mengelat dari bayar cukai dan kegiatan monopoli keterlaluan boleh dibanteras.
Cukai SST yang dikenakan meliputi cukai jualan 10% + cukai perkhidmatan 6% = 16% akan dihapuskan sama sekali dan digantikan dengan sistem cukai baru GST pada kadar 6%. Justeru GST bukan cukai tambahan kepada cukai sedia ada. Di ASEAN hanya Brunei, Myanmar dan Malaysia masih belum melaksanakannya. Negara-negara yang melaksanakan GST telah berjaya memajukan negara mereka dan tidak jatuh bankrap.
Itu faktanya. Dan di sebalik bantahan terhadap GST di Dataran Merdeka tempoh hari, penulis sebenarnya cukup bimbang dengan nasib orang Melayu. Sebahagian besar yang hadir dalam perhimpunan itu adalah orang Melayu. Majoritinya, difahamkan hadir untuk `berjimba-jimba' meramaikan majlis.
Barangkali, elok `peserta-peserta perhimpunan GST' terbabit mengambil iktibar akan kisah Pak Kaduk yang dulunya hanyalah cerita penglipur lara dalam kalangan masyarakat Melayu. Tetapi kini muncul menjadi realiti.
Kisah Pak Kaduk antara lain memberi isyarat tentang pentingnyaakal dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan. Akal dan kebijaksanaanlah yang akan membimbing manusia memilih antara yang baik dengan buruk dan maslahah dengan mudarat, selain mempertimbang akibat atau kesan sesuatu tindakan.
Kisah Pak Kaduk yang sarat dengan nasihat dan pengajaran itu seharusnya tidak sekadar menjadi bahan jenaka. Namun berapa ramaikah antara kita yang sentiasa ingat dan berminat untuk mengambil pengajaran daripada kisah tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang tanpa sedar memiliki ciri-ciri kedunguan dan kejahilan sebagaimana yang ada pada Pak Kaduk?
Menurut al-Imam al-Ghazali r.h., tiada kebaikan yang akan diperoleh dengan bersahabat dengan seorang yang bodoh dan jahil kerana persahabatan itu akhirnya membawa kepada permusuhan dan kesulitan. Langkah terbaik ialah melindungi diri daripada kemudaratan yang diakibatkan `individu' berkenaan termasuk dalam usahanya untuk membawa manfaat atau memberikan bantuan kepada kita.
Perhatikan situasi yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Betapa banyak watak Pak Kaduk yang dapat disaksikan berada di sekeliling kita. Antaranya termasuklah individu yang sentiasa dimanipulasi orang lain akibat kejahilan diri sehingga tergadai milik serta kepentingan peribadi.
Hal inilah yang sering dapat dilihat berlaku. Lebih dibimbangi jika kelak ia membabitkan urusan yang jauh lebih besar dan penting seperti pelaksanaan GST dan kepemimpinan negara.
Di Dataran Merdeka 1 Mei lalu, pakatan pembangkang mungkin akan kata 50,000 orang menyertai mereka di situ. Malah, mereka akan sebut lebih angkanya. Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2013 dihadiri 200,000 orang di Dataran Merdeka. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC dihadiri 300,000 orang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dalam whatsAppnya kepada penulis kelmarin berkata, beliau ada menanyakan bagaimana urusetia mengira mereka yang hadir di PWTC itu.
"Mereka kata ada petugas dengan kaunter elektronik di semua pintu untuk kira dengan tolak peratus tertentu yang keluar masuk. Mereka kata Pesta Buku pada Hari Pekerja pada 1 Mei tahun lepas 500,000 orang. Tahun ini anggaran 300,000. Kini dalam masa seminggu sudah 1.5 juta orang yang hadir Pesta Buku Antarabangsa yang sudah berlangsung 30 tahun itu," katanya.
Kita memang risau apabila pakatan pembangkang dan konco-konconya berhimpun. Tetapi ada ramai lagi majoriti rakyat yang berhimpun untuk tujuan produktif seperti membawa anak-anak dan pelajar sekolah melihat dan membeli pelbagai buku dalam bangunan Ibu Pejabat UMNO. Lima puluh ribu orang penyokong dan pengikut pembangkang cuma 0.16 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia.
Maknanya, sejumlah 99.84 peratus yang tidak berdemonstrasi itu perlu kerajaan jaga dengan baik. Faktanya, 30 juta rakyat Malaysia kini menerima manfaat subsidi ron95 (73 sen seliter), diesel (83 sen seliter), tepung, gas memasak, minyak masak, beras, kesihatan dan subsidi pendidikan.
Sebanyak 6.5 juta orang lagi menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan 5.4 juta orang terima wang sekolah serta buku teks. Dan ada Kedai Rakyat 1Malaysia, pasar tani, subsidi untuk nelayan dan pesawah. Juga, sejumlah 1.4 juta penjawat awam dengan pelbagai bantuan diterima oleh mereka yang tidak sempat disenarai dalam ruangan ini.
Yang pasti, kerajaan terus mendengar suara rakyat. Pihak-pihak berkepentingan akan sentiasa menunggu, bahkan berusaha mencipta peluang untuk menyalakan sumbu api.
Jika itu pilihannya, maka persoalannya: Relakah kita menjadi seperti si Kaduk yang hanya menang dalam bersorak, kampung tergadai? Tidak kiralah sama ada dalam soal GST atau apa sahaja, manfaatkan akal untuk membuat pilihan yang baik.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140506/re_03/Apabila-ramai-berwatak-Pak-Kaduk...#ixzz31B2ZP2jk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment