ARKIB : 05/05/2014
Pena
Dr Siva
Orang ramai beratur untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU-13 di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis, Taman Koperasi, pada 5 Mei tahun lalu - UTUSAN/Abdul Razak Latif |
HARI ini sudah genap setahun sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan. PRU Ke-13 ditetapkan pada 5 Mei 2013 selepas pembubaran Parlimen pada 3 April 2013 dan diikuti dengan penamaan calon pada 20 April.
Pada ketika itu, 84% dari 13,268,002 pengundi menjadi 'raja' di 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak dalam menentukan siapakah layak untuk mentadbir-urus negara ini yang tidak pernah terkecuali menjalankan PRU dalam tempoh masa ditetapkan dengan pengendalian di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 113 Perlembagaan.
Mengimbas setahun pasca PRU Ke-13, jika PRU diadakan sekarang ketika merentasi tahun pertama, bagaimana kedudukannya. Apakah Barisan Nasional (BN) akan mempunyai bilangan kerusi yang sama, merosot atau meningkat? Bagaimana pula Pakatan Pembangkang (PR), adakah masih bertahan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan atau dapat merealisasikan impian ke Putrajaya? Apakah BN akan dapat merampas kesemua negeri di bawah PR?
PRU Ke-13 dinamakan sebagai 'ibu segala pilihan raya' kerana menunjukkan semangat dan motivasi luar biasa sehingga keputusannya juga bercampur-campur. Ia diangkat dengan nada kecewa dan sinis oleh sesetengah pihak walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada menyatakan bahawa menerima keputusan PRU penting untuk proses memakmurkan negara tanpa ada gangguan ke atas kestabilan dan melahirkan keadaan tidak menentu.
Keputusan PRU Ke-13 menunjukkan BN diberi mandat untuk terus mentadbir negara. Dengan kemenangan 133 kerusi, ia kekal dengan majoriti mudah yang kekurangan 15 kerusi untuk majoriti dua pertiga. Bagi barisan pembangkang, bilangan kerusinya bertambah kepada 89 dari 82 sebelumnya, kurang 23 kerusi untuk majoriti mudah.
Selepas setahun, bagaimanakah kedudukannya? Adakah wujud perubahan? UMNO masih kekal popular di hampir 10 negeri, PKR di Selangor manakala DAP di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, Pas di Kelantan tetapi apakah perubahan yang sudah dilakukan sepanjang satu tahun lalu?
Adakah perencanaan parti berjaya memobilisasi sokongan atau sebaliknya? Dengan rujukan kepada akujanji dan manifesto, apakah masing-masing dengan bangga dan yakin boleh menyatakan sebahagian besar sudah dipenuhi, sudah dimulakan perancangan atau ia masih belum menampakkan sebarang perubahan? Ini juga termasuk pola pengundian mengikut kaum, atau sektoral agensi kerajaan dan bukan kerajaan, apakah masing-masing menampakkan perubahan sokongan?
Keputusan 505 PRU Ke-13 dipengaruhi oleh hampir 90% pengundi Cina mengundi parti DAP termasuk Pas. BN kehilangan 96% kerusi dengan lebih 40% majoriti pengundi Cina sehingga wujud sentimen yang dinamakan sebagai 'tsunami Cina', pendefinisian ke atas penolakan pengundi Cina kepada parti BN tetapi ia tidak berlaku hanya di kawasan bandar.
Selepas setahun, sentimen ini masih berada di tahap sama walaupun ada perubahan kepimpinan dalam parti MCA dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil-alih dari Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Ujian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang menunjukkan ada peningkatan sokongan tetapi tahap sokongan di PRK sukar dijadikan imaginasi sokongan sebenar.
Malang lagi, SUPP di Sarawak masih bernyawa ikan dan dengan kedatangan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam jangkamasa yang tidak berapa jauh, apakah SUPP mampu bangkit dan menterjemahkan sokongan pengundi Cina kepada kepimpinan baru Sarawak, Tan Sri Adenan Satem? Walau apa sahaja diperkatakan tentang Pehin Seri Taib Mahmud, beliau berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRN lalu dan mampukah ia diulangi di bawah kepimpinan baru merupakan cabaran yang perlu diteliti.
Apakah parti berlatar belakang kaum Cina yang baru dengan kepimpinan yang menjiwai zaman kontemporari boleh lahir untuk melonjakkan sokongan beserta dengan kerjasama badan bukan kerajaan dan yang mesra kepada BN?
Sepanjang setahun lalu, hampir semua parti berhadapan dengan pemilihan parti termasuk dalam UMNO, MCA, MIC dan Gerakan. Perubahan tidak berlaku dengan ketara di dalam UMNO namun MCA berwajah baru. Cabaran besar bagi MCA selepas ini adalah dilema untuk mengawal populariti berdasarkan kepada Formula 1952 yang kemudiannya Formula 1955 dengan kehadiran MIC dalam kerjasama tersebut.
MIC pula diheret ke Pejabat Pendaftaran (ROS) kerana wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin yang merasakan wujudnya salah-laku pemilihan. Datuk S. Balakrishnan dan Datuk S. Sothinathan muncul dua Naib Presiden baru dalam parti melalui pemilihan ini.
Parti-parti yang menjadi mesra BN dilihat turut memain peranan signifikan dan membantu parti induk BN, misalnya Makkal Sakti yang sentiasa bergerak menyelesaikan isu dan masalah yang timbul sebagaimana juga dengan Kimma dan IPF. Sudahkah tiba masanya pendekatan baru digunapakai untuk meningkatkan tahap komitmen mereka sebagai penghargaan ke atas sumbangan selama ini kerana komitmen ini jelas PRK.
Sepanjang satu tahun pasca 505 PRU Ke-13, lima PRK diadakan, semuanya bersifat status quo. Ia bermula di Kuala Besut diikuti dengan Sungai Limau, Kajang, Balingan dan Bukit Gelugor serta Teluk Intan. Kesemuanya terpaksa diadakan akibat kematian kecuali di Kajang berpunca peletakan jawatan untuk mengukuhkan parti di Selangor manakala di Balingan, calon dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri. Hakikatnya, kos mengadakan PRK tidak murah, misalnya kos di Kajang adalah RM1.605 juta manakala di Balingan, RM910,213.
Barisan parti pembangkang juga berhadapan dengan pemilihan parti. DAP melihat pemilihan yang terpaksa diadakan kerana wujud salah laku dan diarah untuk mengadakan pemilihan baru tanpa ada perubahan besar. Begitu juga dengan Pas dengan pemilihan semula Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Bagi PKR, ia bakal berhadapan dengan pemilihan parti. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Presiden parti selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri tetapi pemilihan Timbalan Presiden dan Naib Presiden bakal melihat hala tuju dan masa depan parti tersebut.
Beberapa isu dominan muncul sepanjang satu tahun pasca PRU Ke-13. Antaranya, isu kenaikan barang secara mendadak sehingga agensi terlibat bersifat defensif. Tidak ada yang sukakan barang naik dan ini boleh mempengaruhi pandangan umum kepada parti politik kerana parti sering diheret bersama dalam keputusan yang dibuat kerajaan. Begitu juga dengan harga petrol, tarif elektrik, GST, tambang bas, LRT, kalimah Allah, gula dan lain-lain. Saga PKNS, gaji wakil rakyat, penutupan GiatMara dan isu air menghantui kepimpinan PKR.
Hukum hudud kini menjadi keutamaan Pas semula. Persepsi adalah realiti dan adakalanya realiti menjadi persepsi yang perlu dilawan dari bersifat defensif mengenainya. Begitu juga dengan kenaikan tarif air dan isu kereta Mercedez Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Isu kezaliman, keadilan, rasuah dan kroni sentiasa didendang ketika parti berhadapan dengan krisis keyakinan.
Isu perpaduan dan agama tidak ketinggalan sepanjang satu tahun ini. Hudud menjadi perdebatan sedangkan ia merupakan perjuangan Pas sejak sekian lama manakala bagi DAP yang tahu ia antara agenda yang tidak boleh dikompromi, bagaimanakah akan meneruskan kerjasama jika ia berterusan adalah antara yang akan mewarnai tahun berikutnya di samping rayuan Anwar dari hukuman salah lakunya yang didapati bersalah baru-baru ini.
Saya percaya Malaysia sedang melalui transisi literasi politik tetapi ia tidak bermakna kestabilan mesti diheret dengan keadaan tidak menentu. Biar peristiwa mahu merampas kuasa pada 16 September 2008 menjadi pengajaran. Ancaman mahu menggulingkan kerajaan sedia ada yang memiliki legitimasi politik melalui PRU perlu dihentikan kerana ia tidak akan menjamin masa depan yang baik untuk pertumbuhan dan pembangunan negara.
Dalam isu tertentu, sewajarnya kedua-dua pihak bergabung untuk membangunkan negara tanpa perlu diberikan jawatan, pangkat dan kuasa tetapi ia akan mencerminkan kematangan dan kecerdikan politik baru iaitu politik berhemah. Barangkali, daripada mempolitikkan peristiwa MH370, masih belum terlewat untuk bergandingan bersama terutama bagi parti yang menggunakan ia sebagai modal politik di PRK Kajang baru-baru ini.
Penilaian satu tahun merentasi di peringkat negara, negeri, kepimpinan pusat dan parti serta masa depan yang bagaimana mahu dilakar untuk negara ini. Penilaian secara jujur mesti melihat kepada adakah sokongan meningkat, terhakis atau statik; meneliti apakah dasar dan polisi yang baik, yang perlu diperbaiki atau perlu dihentikan; misalnya yang sering dikembangkan adalah berkaitan isu keetnikan dan agama kerana ada yang melihat seolah-olah agensi kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya. Benarkah begitu, apakah ini persepsi atau realiti?
Pasca satu tahun 505 PRU Ke-13 mesti merungkai peluang, ancaman, kelemahan dan kekuatan dengan melihat di manakah parti pada 2018? Gambaran itu boleh membantu perjalanan parti politik merentasi pelbagai cabaran dalam kedudukan semasa dunia politik hari ini ketika menjejaki tahun kedua 505 PRU Ke-13.
Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140505/re_02/Setahun-Pasca-505-PRU-Ke-13#ixzz31B0NFG4d
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment