GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Selesai dahulu ketirisan sebelum laksana GST


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mei 2014
Ong Kian Ming dan Dzulkefly
SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengatasi pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan negara terlebih dahulu sekiranya mahu melaksanakan GST.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, cadangan tersebut merupakan antara beberapa alternatif penyelesaian GST yang terkandung dalam Bajet Alternatif dan manifesto PR.

“Adalah lebih baik pelaksanaan GST ditangani dengan mengurangkan ketirisan. Dengan cara ini boleh menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM30 bilion.

“Jumlah ini menyamai hasil kutipan GST sekiranya ia dilaksanakan. Sekiranya Perdana Menteri mengambil kira pandangan ini, kami yakin GST boleh dilaksanakan pada bila-bila masa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang membidas pembangkang kerana mengutuk kerajaan yang mahu melaksanakan GST mulai April 2015.

Najib berkata, sebaliknya pembangkang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai itu tidak pernah mengemukakan alternatif bagi menggantikan GST.

Selain itu, katanya, cadangan lain ialah supaya kerajaan memperkenalkan sistem Cukai Keuntungan Kapital ke atas penjualan aset kewangan seperti saham, bon dan lain-lain.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan juga boleh mencontohi negara maju lain yang mengenakan cukai buffet hanya kepada golongan berpendapatan tinggi.

“Kita bukan kata GST tak baik tetapi dalam keadaan hari ini ia akan membebankan golongan pendapatan sederhana. Golongan menengah dan kaya perlu membayar cukai yang sama, jadi ia sangat tidak adil.

“Sekiranya pendapatan rakyat dapat ditingkatkan, baharu boleh laksanakan GST. Oleh itu, penstrukturan semula ekonomi perlu dilakukan untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment