GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Belia negara sedia hadapi Gagasan Komuniti ASEAN


Publication: BH
Date of publication: Apr 26, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 034
Byline / Author: Oleh Dr Wasitah Mohd Yusof

Malaysia bakal mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2015. Pendedahan masyarakat terutama belia kepada hal ehwal ASEAN ini, amat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran dan mengetengahkan sebarang impak yang bakal dihadapi tatkala penubuhan Gagasan Komuniti ASEAN kelak. Sesuai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggalakkan pelbagai agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membantu kerajaan menyampaikan maklumat kepada masyarakat, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) tampil dengan pendekatan program intelektual, Persidangan Meja Bulat Belia: Gagasan Komuniti ASEAN.

Persidangan Meja Bulat Belia ini merupakan persidangan kedua anjuran IYRES bagi tahun 2014 selepas Persidangan Meja Bulat Belia: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST): Apa Pandangan Belia?, Zon Selatan, di Johor Bahru. Persidangan yang diadakan pada 5 April 2014 yang lalu di Dewan Serbaguna, Menara KBS, itu dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Dengan penyertaan golongan belia seramai 220 orang, persidangan tersebut berjaya mengumpul pandangan dan saranan belia mengenai pembentukan Gagasan komuniti ASEAN yang diterjemahkan ke dalam bentuk resolusi di penghujung sesi persidangan.

Lima sektor agenda asas

Secara keseluruhan, lima sektor utama telah menjadi agenda asas dalam pembentukan resolusi tersebut yang merangkumi aspek ekonomi, politik dan keselamatan, Jaringan Sosial dan Kebudayaan, transformasi kepengerusian ASEAN, serta penyertaan, pengupayaan dan perwakilan belia. Resolusi yang dibentuk ini menyentuh secara menyeluruh perkara pokok yang dilihat akan memberi impak secara langsung kepada golongan belia Malaysia.

Dalam aspek ekonomi, belia menyarankan agar kerajaan memberikan lebih penumpuan kepada pelaksanaan rangka tindakan Komuniti ASEAN (AEC) yang dilihat akan menguntungkan negara dan ASEAN secara keseluruhannya berbanding rundingan dan pelaksanaan kerjasama ekonomi yang lain. Di samping itu, dalam mengambil sebarang tindakan, kerajaan diharapkan dapat memperkukuh kapasiti dan kebolehupayaan usahawan belia Malaysia dengan menambah peruntukan bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pemberian dana kepada usahawan belia, selain pengenalan modul Komuniti ASEAN sebagai silibus latihan keusahawanan. Dari sudut ekonomi, kerajaan juga digesa untuk mempertingkatkan kapasiti dan kebolehupayaan kemahiran belia Malaysia dengan menambah peruntukan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) dalam usaha mempersiapkan belia dengan kemahiran yang berdaya saing, selaras keperluan pasaran ASEAN.

Seterusnya, isu politik dan keselamatan serantau turut menjadi tumpuan dan perhatian utama golongan belia tempatan. Melalui resolusi tersebut, kerajaan digesa supaya lebih agresif dan konsisten dalam mengembalikan keupayaan negara sebagai anggota utama barisan hadapan dalam menangani isu antarabangsa.

Belia turut menggesa kerajaan untuk memperuntukkan lebih dana bagi memperkukuhkan aset dan infrastruktur pertahanan maritim negara, seterusnya mewujudkan mekanisme yang lebih holistik dan berkesan dalam kawalan sempadan maritim ASEAN menerusi Forum Maritim ASEAN.

Selain itu, pembabitan belia dalam isu politik dan keselamatan antarabangsa juga diberikan perhatian dengan meningkatkan keupayaan dan penyertaan perwakilan belia dalam soal politik dan pentadbiran negara. Ini dapat dicapai dengan pengukuhan kedudukan belia menerusi Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) dalam platform tertinggi ASEAN.

Di samping itu, aspek jaringan sosial dan kebudayaan negara dalam kalangan ASEAN juga turut menjadi perkara yang disentuh oleh belia. Belia menerusi resolusi Persidangan Meja Bulat Belia: Gagasan Komuniti ASEAN turut menyarankan agar galakan terhadap program pertukaran belia ASEAN diteruskan dalam usaha menyuburkan dan memperkukuhkan integrasi serantau. Generasi muda juga perlu diberi pendedahan dan galakan untuk mewujudkan keinginan tinggi dalam pembabitan menentukan polisi serta membuat keputusan berkaitan Komuniti ASEAN. Dalam pada itu, IYRES boleh memainkan peranan untuk menjalankan kajian bagi mengukur pandangan awam ala Eurobarometer dalam konteks ASEAN dan Malaysia.

Sekretariat Belia ASEAN

Dalam soal Transformasi Kepengerusian ASEAN, belia menyarankan agar Sekretariat Tetap ASEAN diperkukuhkan melalui pengupayaan dan kuasa tadbir sekretariat, proses pendanaan yang mapan dan struktur pentadbiran yang berkesan. Selain itu, belia turut mencadangkan pewujudan Sekretariat Belia ASEAN sebagai platform pembabitan belia dalam penentuan hala tuju Komuniti ASEAN.

Bagi meningkatkan kesedaran dan menjadikan kewujudan ASEAN signifikan, kerajaan turut disarankan untuk melancarkan program bersifat ikonik seperti mengisytiharkan 8 Ogos setiap tahun sebagai Hari ASEAN dan membenarkan cuti umum pada hari berkenaan supaya wujud kesedaran dalam kalangan rakyat. Di samping itu, pelaksanaan program seperti Festival ASEAN atau Festival Belia ASEAN dapat meningkatkan kesedaran dan integrasi serantau.

Golongan belia juga berpendapat bahawa penyertaan dan pengupayaan belia dalam ASEAN perlu dipertingkatkan. Hal ini dapat dicapai dengan memberi pengiktirafan serta pengukuhan penyertaan perwakilan belia dalam pentadbiran negara seperti melalui Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan Parlimen Belia. Selain itu, penyertaan perwakilan belia boleh diperkukuhkan menerusi CAYC dalam platform tertinggi ASEAN, dengan memberikan ruang dan hak bersuara dalam mesyuarat dan rundingan melibatkan Ketua Kerajaan ASEAN. Belia turut berpendapat bahawa sekretariat organisasi belia di negara ASEAN hendaklah diperkukuhkan dengan dana yang mapan serta pembentukan struktur organisasi yang berkesan.

Pada dasarnya, persidangan meja bulat sebegini dan program intelektual lain amat berkesan dalam membantu memberi pendedahan awal kepada golongan belia mengenai pembentukan Gagasan Komuniti ASEAN menjelang 2015. Selain dididik dengan pengetahuan asas, golongan belia juga dapat didedahkan kepada segala macam impak pembentukan gagasan ini.

Melalui pembentukan resolusi di akhir persidangan, tahap pengetahuan dan kesedaran golongan belia dapat dinilai. Hal ini jelas diterjemahkan dalam perkara yang disenaraikan, betapa melalui Persidangan Meja Bulat Belia: Gagasan Komuniti ASEAN, belia sedar akan keperluan pembentukan gagasan ini di samping menjadi langkah awal mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan.

* Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Penyelidikan Belia Malaysia (IPPBM)

No comments:

Post a Comment