GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

GST: Najib tempelak pembangkang


ARKIB : 04/05/2014

KUALA LUMPUR 3 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak sikap pembangkang yang tidak mencadangkan alternatif kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebaliknya mengadakan perhimpunan bagi membantah pelaksanaannya kelmarin.

Perdana Menteri berkata, jika pembangkang tidak bersetuju dengan GST, adalah lebih baik mereka mencadangkan alternatif terhadap dasar berkenaan dan bukannya membantah dan mengutuk kerajaan.

Menurutnya, pendekatan yang diambil itu tidak mencerminkan pembangkang yang mewakili sebuah masyarakat intelektual.

"Kita tidak tahu apa alternatif kepada GST. Cuma mereka (pemimpin pembangkang) naik atas pentas, dia kutuk kerajaan dan kata tolak, tumbang kerajaan," katanya ketika melancarkan Majlis Senator Malaysia (MSM) di bangunan Parlimen di sini malam ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Presiden MSM, Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sesebuah masyarakat yang boleh berfikir memerlukan kepada intelektual input.

"Kalau tidak setuju tolong bagi alternatif. Kalau kita kutuk sahaja tanpa mengemukakan alternatif, kita tidak memberikan sesuatu alternatif yang baik kepada negara," ujar beliau.

Menurut beliau, setiap keputusan kerajaan termasuk dalam soal GST dilakukan menerusi kajian mendalam dan bukan dibuat secara meluru.

Beliau menegaskan, kerajaan mempunyai asas rasional yang cukup konkrit mengapa GST perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Najib berkata, Dewan Negara tidak wajar dilihat oleh siapa sahaja sebagai badan 'rubber stamp' atau pihak yang meluluskan undang-undang sahaja.

Katanya, istilah berkenaan tidak wajar dilabelkan kepada Dewan Negara kerana perbahasan dalam persidangannya sangat rancak manakala kualiti debat sudah bertambah.

Beliau juga mahu ahli Dewan Negara bukan sahaja diwakili oleh pemimpin parti politik tetapi oleh masyarakat awam daripada pelbagai bidang dan kepakaran.

"Dengan ini masyarakat dapat input meluas dalam kalangan ahli Dewan Negara," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment