GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Sistem cukai adil, progresif


Publication: BH
Date of publication: May 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah sistem yang adil, progresif dan boleh diterima umum serta tidak membebankan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

"GST adalah sistem percukaian yang progresif, yang boleh membantu kita memperluaskan asas hasil pendapatan negara. Kita sudah kaji perkara ini begitu lama, sekarang kebanyakan rakyat Malaysia tidak bayar cukai, cuma sejuta yang bayar.

"Sistem GST ini dilaksana hampir 90 peratus daripada negara di dunia. Kalau sistem ini sudah terbukti, tentu bagi kita di Malaysia ia mestilah sistem yang adil, progresif dan boleh diterima rakyat.

"Kalau tidak, rakyat di 190 buah negara (melaksana GST) sudah tentu akan menolak sistem ini," kata Perdana Menteri pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Perdana Putra, di sini semalam.

Najib berkata, penerangan perlu diberi kepada rakyat supaya mereka faham dan bukan ikut serta tanpa mengetahui tujuan dan asas sistem percukaian itu.

Ramai tak bayar cukai

Tegasnya, kerajaan mesti menjelaskan kepada rakyat bahawa ramai yang tidak bayar cukai, malah selaku Menteri Kewangan, beliau sendiri tahu ramai tidak bayar cukai atau bayar sedikit daripada apa yang patut dibayar.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat dan memperincikan lebih banyak barangan serta produk yang boleh dikecualikan daripada GST tanpa menjejaskan perluasan asas hasil pendapatan negara.

"Melalui pelaksanaan GST, kita boleh memacu pertumbuhan yang lebih tinggi untuk negara dan mampu membina lebih banyak infrastruktur serta kemudahan asas di bandar, selain luar bandar. Kalau tidak bina infrastruktur yang lebih moden, kita akan kehilangan kelebihan daya saing.

"Negara juga memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk modal insan kerana ia faktor kritikal dalam soal kekuatan daya saing mana-mana negara.

"Hasil percukaian perlu untuk bidang kesihatan kerana ada keperluan bagi menambah hospital, peralatan dan sebagainya yang menjadi antara perkara didesak oleh rakyat," katanya.

Najib menekankan dengan tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan 1.5 juta penjawat awam, negara memerlukan hasil yang mencukupi termasuk menerusi percukaian.

"Itulah langkah dan falsafah kerajaan hari ini dan saya yakin langkah seumpamanya akan membolehkan kita mengangkat kedudukan negara seperti yang diimpikan bersama," katanya.

Beliau berharap penjawat awam dapat memainkan peranan dalam memberi penerangan kepada rakyat berhubung GST.

No comments:

Post a Comment