GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

GST jaminan masa depan


Publication: BH
Date of publication: May 2, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Adha Ghazali; Nahar Tajri; Suzalina Halid

Jitra: Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April tahun depan mampu menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi dan kewangan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kegagalan melaksanakan GST bukan sahaja berisiko menghentikan proses transformasi negara, sebaliknya lebih teruk boleh menyebabkan negara berdepan himpitan ekonomi, yang akhirnya mencetus kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.

"Walaupun ada pihak membuat bantahan di Kuala Lumpur terhadap GST, tetapi hakikatnya apabila sistem cukai itu diperkenalkan, masa depan negara terjamin.

Fikir secara rasional

"Kalau kita fikir secara rasional dan bukan ikut perasaan, kita akan faham setiap dasar kerajaan bertujuan untuk kebaikan rakyat. Jangan tengok sehari dua. Hari ini tanam benih, esok nak meraih buah. Kalau tak tanam hari ini kita tidak mengecapi hasilnya pada masa akan datang," katanya berucap merasmikan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2014 di sini, semalam.

Majlis di Dewan Wawasan itu dihadiri kira-kira 5,000 penjawat awam.

Perdana Menteri meminta rakyat memahami nawaitu (niat) kerajaan melalui pelaksanaan GST, yang tidak lain dan tidak bukan untuk membawa perubahan dan transformasi.

"Kerajaan mempunyai sebab musabab serta rasional yang kukuh untuk melaksanakannya.

"Bila nak buat sesuatu, kita timbang dengan teliti dan gunakan pertimbangan adil. Kalaulah Presiden CUEPACS hendak elaun diperbaiki, gaji ditambah, maknanya kita perlu tambah hasil.. dari mana nak mencari dananya kalau tak ada hasil," katanya.

Tak kurangkan kakitangan

Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga berkata, kerajaan tidak bercadang mengurangkan bilangan kakitangan awam yang kini mencecah 1.5 juta di negara ini, berbanding cadangan pembangkang.

"Mereka (pembangkang) gambarkan sekarang mereka dapat kuasa, mereka nak buang separuh penjawat awam, atau mereka akan menguncup saiz perkhidmatan awam... kerajaan hari ini tiada cadangan sebegitu dan tetap akan jaga kebajikan penjawat awam.

"Kerajaan dan penjawat awam, pekerja serta majikan adalah satu ramuan kombinasi yang membawa kita kepada hari ini, di mana Malaysia diiktiraf oleh pemimpin dunia bahawa kita berada di landasan yang mantap dan berjaya," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri juga mengumumkan beliau meluluskan pembinaan 1,000 rumah mampu milik untuk penjawat awam berpendapatan rendah di Kedah yang akan dibangunkan di Bukit Pinang, Pokok Sena.

Beliau turut mengumumkan penyediaan 20 mesin haemodialisis yang akan ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk dimanfaatkan penjawat awam negeri, seperti dipohon CUEPACS.

No comments:

Post a Comment