GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 9, 2014

GST: Tumpu penerangan di kawasan luar bandar


ARKIB : 05/05/2014

KUALA LUMPUR 4 Mei - Kerajaan perlu menumpukan penerangan berkenaan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada penduduk kawasan luar bandar di seluruh negara bagi meningkatkan pemahaman rakyat mengenai cukai tersebut.

Tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ini disebabkan pemahaman masyarakat luar bandar mengenai pelaksanaan GST masih rendah kerana mereka kurang didedahkan kepada akses berita seperti akhbar dan internet.

“GST perlu dilaksanakan kerana ia merupakan perkara baik. Bagaimanapun, penjelasan kepada rakyat terutama di luar bandar perlu diperluaskan supaya mereka faham dan sokong pelaksanaannya.

“Oleh itu, kerajaan melalui Jabatan Penerangan perlu bergerak lebih aktif menerusi media sosial serta mengadakan lebih banyak jelajah di kawasan pedalaman untuk menjelaskan mengenai GST kerana perkara ini tidak boleh dilakukan dalam masa sehari atau dua hari sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan-dewan perniagaan menganjurkan perhimpunan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat.

Usaha itu juga, kata Ibrahim, perlu sebagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST anjuran pembangkang Khamis lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan tersebut, Ramon berkata, kerajaan perlu memainkan peranan untuk menjelaskan mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat lebih daripada yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kerajaan mesti bertanggungjawab dan bukannya NGO. Bukan tugas NGO untuk menjelaskan perkara tersebut sebaliknya kerajaan yang mesti melakukannya dengan lebih meluas," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Ridhwan Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu bertindak agresif menerangkan kepentingan pelaksanaan GST bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengenai perkara tersebut.

"GST ini merupakan benda baharu kepada rakyat Malaysia dan apabila perkara baharu, masih ramai yang akan ragu-ragu dan salah faham, terutama apabila usaha daripada kerajaan untuk menerangkan perkara itu masih belum cukup.

"Bukan semua benda dan perkhidmatan akan dikenakan GST, malah cukai itu juga tidak akan menindas atau menjejaskan golongan miskin dan kurang berkemampuan," jelasnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment