GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 9, 2014

BR1M, JKM perlu diselaras


ARKIB : 06/05/2014

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan diminta mencantumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha memastikan bantuan itu disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kaedah baharu itu dicadangkan ekoran wujud segelintir golongan penerima BR1M yang dilihat kurang menghargai pemberian kerajaan berkenaan.

Menurutnya, langkah itu sangat bersesuaian terutama selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun depan.

Katanya, perkara itu relevan apabila kutipan pertama GST dijangka bernilai RM3 bilion dan peruntukan BR1M secara kasarnya bernilai RM4 bilion dilihat mencukupi dalam membantu golongan miskin terutama melibatkan kos hidup mereka.

"Pada awalnya, kerajaan boleh memperuntukkan sebahagian kutipan GST dan BR1M untuk pembayaran bil air, bil elektrik dan cukai pintu golongan yang dibelenggu kemiskinan bandar.

"Selain itu, sistem kupon percuma juga boleh diberikan kepada anak-anak keluarga miskin untuk tujuan pengangkutan terutama melibatkan bas sekolah," katanya ketika berbahas bagi menyokong Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 di Dewan Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, bantuan juga perlu diberikan bagi membantu persekolahan anak-anak golongan sasar terutama melibatkan bayaran yuran kokurikulum yang mencecah sehingga RM200 bagi seorang pelajar.

"Kita tahu yuran persekolahan sudah percuma tetapi ada juga bayaran persatuan. Cuba bayangkan sekiranya ibu bapa ini ada lima orang anak? Tidakkah berjumlah RM1,000," soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar diberikan makanan percuma kepada semua pelajar di sekolah di negara ini.

"Dengan GST dijangka mampu mencapai kutipan RM3 bilion, mungkin beberapa peratus daripada jumlah itu boleh diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk rebat," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment