Publication: HM
Date of publication: May 2, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 014
Jitra: Cadangan kerajaan untuk melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula pada April depan perlu dilihat secara rasional kerana kaedah berkenaan mampu menjana ekonomi lebih mantap sekali gus menjamin masa depan negara.
Bagaimanapun, kegagalan melaksanakan sistem berkenaan atau melakukan perubahan menyebabkan bakal berlaku himpitan kepada ekonomi negara sekali gus boleh membawa penderitaan kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, apabila sistem GST diperkenalkan kelak maka kerajaan dijangka mendapat hasil lebih mantap berbanding sistem percukaian sedia ada sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
Menurutnya, berikutan itu rakyat perlu memahami niat kerajaan untuk melakukan perubahan dan transformasi walaupun jika dipandang sekali imbas mungkin dirasakan sesuatu tidak perlu atau tidak patut dilakukan.
Katanya, rakyat juga perlu berfikiran rasional bukan mengikut perasaan kerana setiap tindakan termasuk pelaksanaan GST yang cuba dilakukan oleh kerajaan mempunyai sebab kukuh.
"Pada hari ini (semalam) ada pihak bercadang nak buat bantahan di Kuala Lumpur terhadap GST walaupun pada hakikatnya apabila GST diperkenalkan maka masa depan dan ekonomi negara juga menjadi lebih terjamin.
"Saya percaya kalau kita melihat dan berfikir secara rasional (maka) kita faham setiap dasar yang mahu dilakukan kerajaan bertujuan untuk kebaikan rakyat.
"Kita jangan lihat sehari dua, (sebab) adakala kita bersikap kita tanam benih hari ini, esok nak meraih buahnya. Adakala kita tanam hari ini, buahnya diraih dalam masa beberapa tahun akan datang, (tetapi) kalau tak tanam hari ini, kita tidak mengecapi hasilnya pada masa depan," katanya.
Najib berkata, rakyat perlu memahami apa yang dilakukan kerajaan pada hari ini amat bertimbang rasa kerana pihaknya tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan sehingga terpaksa meminjam daripada pihak lain.
Menurutnya, keadaan itu akan menyebabkan ekonomi negara merudum sehingga pihak luar hilang kepercayaan.
"Janganlah terpengaruh dengan cakap-cakap luar yang menimbulkan persepsi membuatkan rakyat benci kepada kerajaan.
"Sedangkan, sebenarnya langkah (melaksanakan GST) ini supaya kemampuan kewangan lebih kukuh untuk merangsang lagi pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
No comments:
Post a Comment