ARKIB : 04/05/2014
KUALA LUMPUR 3 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mempertimbangkan cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia untuk menganjurkan perhimpunan besar-besaran bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat.
Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya tiada masalah untuk mengadakan perhimpunan itu sekiranya dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan rakyat mendapat gambaran tepat mengenai GST namun perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa.
"Sekarang ini pun, CUEPACS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk pegawai-pegawai kerajaan bertanggungjawab telah mengadakan beberapa siri turun padang berjumpa rakyat bagi memberi penjelasan mengenai GST.
"Kami boleh menganjurkan perhimpunan itu, tetapi tidak mahu melibatkan mana-mana parti politik. Kami hanya mengalu-alukan kerjasama JKDM, wakil Kementerian Kewangan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan CUEPACS dan Dewan-Dewan Perniagaan supaya menganjurkan perhimpunan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat selain sebagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST anjuran pembangkang pada Khamis lalu.
Menurut Azih, program turun padang yang dianjurkan pihaknya akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan menyebarkan maklumat mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat.
"Sudah menjadi antara tanggungjawab CUEPACS untuk bantu kerajaan memberi penjelasan kepada mereka yang masih belum faham sepenuhnya mengenai GST ini," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140504/dn_09/CUEPACS-akan-timbang-cadangan-Perkasa#ixzz315tTdLkx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment