GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Peserta Melayu himpunan GST celaru pemikiran, kata Utusan Malaysia

OLEH MD IZWAN
MAY 02, 2014
Utusan Malaysia menyifatkan peserta himpunan anti-GST semalam celaru
dalam pemikiran. – Gambar The Malaysian Insider, 2 Mei, 2014.
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menyifatkan peserta berbangsa Melayu dalam himpunan bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semalam sebagai berpemikiran celaru.

Kolumnis Awang Selamat mendakwa peserta yang hadir dalam perhimpunan sempena Hari Buruh sedunia semalam diperalatkan oleh parti pembangkang.

"Awang cukup kasihan melihat gambar-gambar orang Melayu di jalanan semalam yang semakin celaru pemikiran mereka," katanya dalam Utusan Malaysia hari ini.

Awang Selamat juga mendakwa himpunan semalam turut disertai oleh kumpulan songsang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan disokong oleh PAS.

"Yang sedihnya ada pula kumpulan LGBT yang turut terlibat, berpekik-pekik bersebelahan dengan wanita-wanita PAS yang berpurdah hitam ala wanita Iran.

"Awang - Geleng kepala," kata Awang Selamat lagi.

Menurut Awang Selamat, perhimpunan semalam digunakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perhatian bagi mencapai cita-citanya menjadi perdana menteri.

"Tetapi itulah perangai Anwar. Dia akan terus mempengaruhi pengikutnya, rakyat jelata waima kerajaan Amerika Syarikat sekalipun untuk mempercayai permainan politiknya. Cita-citanya hanyalah untuk menjadi perdana menteri," katanya.

Awang Selamat berkata himpunan semalam sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Isu GST hanyalah sampingan. Pokoknya ialah untuk menjatuhkan kerajaan. Itu pasal temanya ialah Bantai Sampai Tumbang," kata Awang Selamat.

Menurutnya, jika pihak anggota keselamatan mengambil tindakan semalam, ia pasti mengundang kontroversi dan pembangkang pasti menyukainya kerana ia akan memberi kesan lebih hebat.

"Dia (Anwar) juga amat gembira jika tunjuk perasaan yang dilakukannya itu mendapat tindak balas polis.

"Jika ada tembakan bom asap lagi dia suka, kerana impaknya itu lebih hebat," kata beliau.

Semalam, kira-kira 20,000 peserta demonstrasi GST yang turut dihadiri pemimpin politik Pakatan Rakyat, antaranya Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dan ramai lagi.

Orang ramai berkumpul di empat lokasi utama iaitu KLCC, Sogo, Dataran Maybank, Masjid Negara dan Jalan Raja Laut, sebelum berarak menuju perkarangan Dataran Merdeka kira-kira 2 petang.

Demontrasi 1 Mei dianjurkan gabungan bersama 95 badan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lalu berkata, GST akan mula berkuatkuasa pada April 2015.

Ramai menjangkakan harga barang akan meningkat jika GST dilaksanakan dan menyebabkan beban tanggungan isi rumah. – 2 Mei, 2014.

No comments:

Post a Comment