GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Membahas rang undang-undang GST – Dr Syed Husin Ali

MAY 01, 2014

Saya tidak menumpu secara khusus kepada rang undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dibentang. Saya menentang GST dilaksanakan sekarang. Oleh itu saya menolak rang undang-undang ini.

GST dikenali juga sebagai VAT (Value Added Tax). Ia bertujuan untuk memungut cukai. Ia adalah untuk menggantikan SST (Sales and Services Act). GST dikenakan ke atas semua orang kerana semua barang dan perkhidmatan yang digunakan dikenakan cukai. Sebaliknya, boleh dikatakan SST lebih dikenakan kepada mereka yang berpendapatan lebih tinggi.

Walaupun umumnya GST mempunyai kelebihan, namun pada masa sekarang dan dalam keadaan yang wujud kini, saya berpendapat ia belum sesuai dilaksanakan.

Waktu membentangkan Bajet beberapa bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhujah 152 daripada 193 negara anggota Bangsa-bangsa Bersatu menerima dan melaksanakan GST. Jadi tentulah ia baik dan bagus jika kita turut melaksanakannya juga.

Hujah ini tidaklah begitu kukuh. Kita dapati dalam dunia ini ada kira-kira 80% negara yang menetapkan umur kurang daripada 21 sebagai kelayakan untuk mengundi. Begitu juga 87 pihak daripada semuanya menandatangani International Convenent on Elimination of all Forms of Racial Discrimination. Mengapa kita tidak ikut?

Seperti diumumkan oleh perdana menteri juga dalam ucapan yang sama, kerajaan akan melaksanakan GST mulai 1 April 2015, iaitu dalam tempoh setahun lagi. Saya tidak mengetahui mengapa rang undang-undang ini dibentangkan agak awal. Adakah kerana ura-ura himpunan rakyat pada 1 Mei?

GST merupakan cukai banyak peringkat yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan yang digunakan. Barang dan perkhidmatan itu boleh dibuat atau dikeluarkan dalam ataupun luar negara. Tetapi ia tidak termasuk yang dieksport.

Yang dimaksudkan dengan cukai dikenakan banyak peringkat ialah cukai tidaklah dikenakan hanya pada peringkat akhir, iaitu semasa dibeli untuk penggunaan. Bahkan sebaliknya, cukai dikenakan pada tiap peringkat dalam rantai bekalan dari kilang hingga sampai kepada peruncit dan pengguna.

Terdapat senarai beberapa produk yang tidak dikenakan cukai GST - daripada beras dan tepung hingga belacan dan cencalok.Tapi ini cuma merupakan pembebasan cukai pada peringkat akhir saja. Pada semua peringkat pengeluaran sebelumnya cukai sudah dikenakan. Contohnya, untuk pengeluaran beras cukai dikenakan untuk jentera membajak, baja digunakan, minyak untuk pengangkutan. Begitu juga dengan produk lain.

GST adalah satu jenis cukai yang regresif. Ertinya bebannya adalah lebih berat semakin rendah pendapatan, ringan bagi golongan kaya dan berat bagi golongan miskin. Sudah tentulah ini tidak adil.

Misalannya, beban cukai bagi orang berpendapatan RM10,000 sebulan yang berbelanja RM5,000 adalah lebih ringan daripada bagi orang berpendapatan RM3,000 yang berbelanja RM2,500 untuk barang dan khidmat yang digunakan. Hal ini akan dijelaskan kemudian.

PM menyebut kadar cukai GST ialah sebanyak 6%, walaupun ini tidak disebut dalam rang undang-undang ini. Bererti orang yang berbelanja RM5,000 akan membayar cukai sebanyak RM300 daripada pendapat RM10,000, manakala yang berbelanja RM2,500 akan membayar cukai RM150 daripada pendapatan RM3,000.

Sebenarnya cukai GST yang dimulakan dengan cukai 6% itu adalah agak tinggi. Singapura bermula dengan 3% saja, walaupun sekarang, setelah beberapa tahun, sudah naik. Ada pula negara seperti Korea, yang tidak menaikkan cukainya lebih 15 tahun.

Tidak sepatutnya negara ini membebankan semua rakyat, terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah, dengan memungut cukai melalui GST. Ada pelbagai cara lain untuk menambah cukai, tetapi ini belum dikaji.

Antaranya ialah: mengenakan kadar cukai khusus ke atas syarikat yang terlibat dengan industri ‘berdosa’ seperti rokok, minuman keras dan perjudian; cukai ke atas keuntungan besar yang diperolehi secara mendadak (windfall profit tax); menyelaraskan cukai supaya lebih progresif dengan mengenakan cukai lebih tinggi kepada yang paling kaya.

Sebenarnya GST tidak wajar dikenakan apabila masih meluas berlakunya korupsi atau ketirisan. Satu jenis ketirisan teruk yang berlaku di kementerian dan jabatan kerajaan dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit. Jumlah kerugian ialah antara RM20 - RM30 bilion setahun. Jika ini boleh dikawal GST tidak perlu.

GST juga tidak patut dilaksanakan manakala kadar pendapatan masih rendah. Mengikut angka kerajaan sendiri, 78.6% daripada penduduk negara ini berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Majoritinya Melayu/Bumiputera. Selain itu 38% daripada pekerja berpendapatan kurang daripada RM860 sebulan.

Hutang seisi rumah pula tinggi. Anak muda yang baru keluar universiti dan bekerja pun sering terbeban dengan hutang yang banyak – hutang pelajaran, hutang beli kereta, mungkin hutang beli rumah dan juga agaknya hutang hendak kawin. Pada penghujng 2012 jumlah hutang seisi rumah ini ialah RM754.6 bilion, iaitu 80.5% daripada KDNK. Tertinggi di Asia.

Kadar perdapatan di negara ini lambat meningkat. Sebaliknya pula harga barang keperluan naik dengan cepat pula. Oleh kerana itu GST akan menjadikan bebanan lebih teruk ke atas golongan berpendapatan rendah, terutama sekali yang miskin. Itulah sebabnya ia mesti ditolak buat sementara ini. – 1 Mei, 2014.

* Penulis ialah Timbalan Presiden PKR.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment