GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Perhimpunan aman: Antara persepsi dan hak


MAY 6, 2014

Affendy gemar memasak (dan memasang angan-angan menjadi pembaca berita). Beliau adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tulisan dan pendapat beliau adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana persatuan. Hasil karya Affendy boleh dibaca di laman web www.ceku.org.

6 MEI ― Saya berasa terpanggil untuk menulis mengenai isu ini melihatkan perkembangan terbaru membabitkan hak berhimpun secara aman terutama sekali membabitkan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini dalam penghakiman bersangkutan hak berhimpun dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Penghakiman pada peringkat Mahkamah Rayuan tersebut dianggap bersejarah dan penting kerana dilihat melindungi hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti dijamin di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Perbincangan mengenai demonstrasi jalanan, perarakan mahupun perhimpunan perlu dilakukan secara berhati-hati. Perbincangan pada mata pengamal undang-undang sudah pun rumit, apatah lagi perbualan orang biasa, sudah tentulah ada pelbagai persepsi akan wujud.

Menjawab soalan perhimpunan aman adalah tidak mudah tanpa pendidikan dan kesedaran mengenai hak berhimpun secara aman seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ada yang berpendapat, sekalipun hak ini dijamin, bukankah ketenteraman awam akan diganggu? Bagaimana pula dengan aktiviti peniaga yang akan terjejas? Bagaimana pula dengan kesesakan lalulintas? Soalan-soalan inilah yang seringkali dimainkan sehingga menutup peranan asal mengapa hak ini diberikan dan sebenarnya dilindungi undang-undang.

Sebagai sebuah negara demokratik yang mengamalkan demokrasi, selain daripada hak untuk mengundi, hak untuk berhimpun secara aman adalah salah satu cara untuk rakyat menyampaikan mesej kepada kerajaan mengenai sebarang tindakan kerajaan yang mentadbir. Dalam erti kata lain, perhimpunan aman boleh dianggap sebagai “nadi” negara bergantung kepada jumlah yang menyertai.

Bagaimana kita ingin menangani isu kerisauan mengenai kejadian-kejadian buruk yang bakal menimpa daripada perhimpunan tersebut? Kerisauan ini seolah-olah ada usaha untuk mewujudkan iklim ketakutan kepada rakyat yang akhirnya terus memandang serong kepada perhimpunan aman walaupun dijamin di bawah undang-undang. Kita harus faham, kerisauan yang ada pada segelintir masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat lain terhadap hak untuk berhimpun secara aman.

Usaha untuk membuang rasa ketakutan itu harus datang daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa tempatan. Dalam beberapa siri perhimpunan yang dianjurkan, sudah ada kesediaan di pihak polis untuk membantu melancarkan perhimpunan, contohnya perhimpunan anti-GST baru-baru ini. Usaha ini harus dipuji dan diteruskan, bertepatan dengan peranan polis sebagai pelindung rakyat.
Beribu-ribu rakyat Malaysia berhimpun di perhimpunan anti-GST
baru-baru ini di Dataran Merdeka pada 1 Mei, 2014. ― Foto oleh Choo Choy May
Persepsi masyarakat bahawa mengapa harus turun ke jalanan jikalau ada cara lain yang lebih baik perlukan jawapan yang bernas. Saya berpendapat, semuanya berbalik kepada soal pilihan. Jikalau kumpulan yang ingin berhimpun merasakan cara itu lebih efektif dalam menyampaikan suara mereka, hak itu tidak boleh dihalang selagi mana dilaksanakan dalam kerangka undang-undang yang sah dan tepat. Begitu juga jikalau ada pihak memilih untuk menyampaikan memorandum berbanding berhimpun, itu terpulang kepada diri masing-masing.

Ada juga suara-suara yang menyatakan perhimpunan aman ini hanya disokong disebabkan asyik dianjurkan oleh sesetengah pihak sahaja. Saya berpendapat pendirian ini tidak harus dilayan kerana soalnya bukan siapa yang menganjur, tetapi hak setiap rakyat untuk berhimpun selagi mana patuh pada prinsip undang-undang perlu dihormati.

Mungkin hari ini parti pembangkang ataupun pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan perhimpunan aman bagi menyampaikan mesej. Mungkin pada masa akan datang, parti pemerintah ataupun badan-badan yang berkaitan pula yang akan anjurkan perhimpunan aman. Pokoknya, hak ini adalah hak semua, maka selagi mana tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang sedia ada, hak ini harus dihormati.

Persoalan hak-hak ini tidak mungkin dapat dirungkai dalam satu penulisan. Apa yang penting dalam memastikan roh Perlembagaan Persekutuan ini hidup dan dihormati, memerlukan proses pendidikan, kesedaran dan rasa hormat kepada Perlembagaan itu sendiri. Sekiranya ini dapat dilakukan, kita hanyalah selangkah ke arah menjadi masyarakat yang matang.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online. 

- See more at: http://www.themalaymailonline.com/opinion/affendy-hasni/article/perhimpunan-aman-antara-persepsi-dan-hak#sthash.XREHE7zl.dpuf

No comments:

Post a Comment