GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Antara sebab kita perlu GST


Publication: BH
Date of publication: May 2, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 031

Ada dua sebab utama mengapa kerajaan wujud. Pada asasnya untuk memberikan perkhidmatan yang tidak sesuai disediakan oleh individu, syarikat atau pasaran swasta; dan apabila mekanisme pasaran gagal menghasilkan kebajikan kepada orang awam.

Ciri perkhidmatan dan barangan asas ini agak unik yang pada asasnya tidak sesuai diperdagangkan dalam pasaran (swasta). Begitu juga kegagalan pasaran untuk memenuhi prinsip asas seperti keadilan dan pengagihan. Justeru, kerajaan wujud. Bagaimanapun, kerajaan memerlukan sumber kewangan untuk membiayai perkhidmatan asas ini.

Kerajaan mempunyai beberapa pilihan sumber, sama ada untuk mengenakan cukai langsung - (cukai pendapatan, korporat, hartanah dan keuntungan modal atau cukai stem) dan tidak langsung - cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai yang lebih menyeluruh iaitu cukai perkhidmatan dan barangan (GST), mendapat hasil dari sumber asli Negara atau sewa atau jualan tanah dan bangunan kerajaan.

Cukai individu dan korporat contohnya menyumbang 63 peratus kepada Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat. Cukai langsung bergantung terhadap kuasa pendapatan individu dan pendapatan korporat. Dengan kata lain, dana ini amat bergantung kepada kekuatan ekonomi negara dan putaran ekonomi. Dana kerajaan akan mengecut apabila berlaku kegawatan ekonomi sedangkan kerajaan memerlukan dana untuk menggerakkan enjin ekonomi negara apabila ekonomi gawat.

160 negara laksana GST

Sebanyak 160 negara iaitu 80 peratus daripada negara di dunia yang melaksanakan GST kerana ia mempunyai jangkauan lebih meluas. Ia adalah dasar fiskal yang lebih mapan bagi pembangunan negara.

Dalam dokumen Model Baru Ekonomi (MBE) Untuk Malaysia: Iaitu hala tuju dasar strategik pembangunan negara, lapan strategi pembaharuan dicadangkan untuk 10 tahun ke hadapan, iaitu 2010 hingga 2020.

Lapan strategi itu adalah perkara struktur. Antaranya menyatakan perbelanjaan kerajaan bagi subsidi yang menyeluruh adalah besar sedangkan golongan kaya yang lebih mendapat manfaat. Sumber pendapatan negara pula kecil dan tertumpu iaitu hanya 1.5 juta membayar cukai daripada 12 juta tenaga kerja. Juga, hanya 15 peratus daripada perniagaan yang membayar cukai. Struktur fiskal yang begini tidak sihat bagi negara untuk jangka panjang.

Di bawah kemampanan fiskal negara, MBE mencadangkan defisit kerajaan ditangani dan pengurusan kewangan perlu diperbaiki. MBE mencadangkan sistem yang ada diubah daripada `sistem percukaian yang bertumpu dan subsidi menyeluruh' kepada 'sistem percukaian menyeluruh dan subsidi yang bertumpu.'

Pengurusan kewangan strategi

Pengurusan kewangan yang lebih strategik adalah penting untuk pembangunan negara. GST akan menggantikan sistem yang berkali cukai iaitu SST yang mana rakyat terpaksa membayar harga barang yang lebih mahal kerana cukai yang berganda. Malah, pengguna hanya membayar cukai satu kali di bawahGST. Ini boleh menyebabkan harga turun dan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Apabila Singapura memperkenalkan GST pada tahun 1994, harga barang naik kerana Singapura tidak mempunyai SST tetapi keadaan sebaliknya akan berlaku di Malaysia apabila sistem cukai baru itu berjalan lancar.

MBE mencadangkan, apabila GST dikenakan, cukai individu dan cukai syarikat diturunkan. Dasar pembangunan sebegini amat perlu supaya individu dan syarikat lebih terangsang untuk menambah usaha meningkatkan pendapatan.

Ada yang menyatakan GST sistem cukai yang regresif dan lebih membebankan golongan miskin. Ini tidak akan berlaku di negara kita kerana banyak barang yang dikecualikan cukai iaitu:

* Bahan pertanian, padi dan sayur-sayuran, makanan;

* Beras, gula, tepung gandum, minyak masak, hasil ternakan dan ikan;

* Bekalan satu daripada 200 unit pertama elektrik setiap bulan untuk pengguna domestik;

* Bekalan pertama 35 meter padu air setiap bulan untuk pengguna domestik;

* Eksport barangan;

* Perkhidmatan antarabangsa termasuk pengangkutan awam domestik (LRT, KTM, ERL, monorel, bas dan teksi);

* Lebuh raya tol;

* Jualan/pajakan/sewa tanah kediaman/harta;

* Tanah untuk tujuan pertanian dan tanah untuk kegunaan umum;

* Penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan; dan

* Perkhidmatan kewangan tertentu.

Perniagaan kecil dan mikro juga tidak dikenakan GST sehingga perniagaan mencapai RM500,000.

Dana kerajaan boleh disalurkan kepada subsidi yang lebih bertumpu seperti memperkemaskan sistem sekuriti sosial (memperkemaskan BRIM), pengangkutan awam lebih baik, bantuan pendidikan, kesihatan dan bantuan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah. Malah, strategi ini akan membawa negara kepada satu tahap kemajuan yang lebih tinggi.

* Penulis ialah Profesor di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

1 comment:

  1. Oleh kerana terdesak dengan pendidikan rendah makan gaji di syarikat swasta dengan GAJI POKOK RENDAH,barang keperluaran dikenakan cukai barang GST Dan sebagainya terasa beban dengan perkara "good and service tax".Memang kerajaan negara Malaysia berhak bertanggungjawab mengenai kepentingan rakyat tetapi keberhasilannya semacam rupa pemberian BR1M.Ada yang lulus dan ada yang gagal maka perlu titikberatkan bahawa pemberian adil sesaksama.

    ReplyDelete