GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, November 20, 2013

Tiada defisit berkembar


Publication: HM
Date of publication: Nov 19, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 035
Byline / Author: Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Malaysia diyakini tidak akan mengalami situasi defisit berkembar (bajet defisit yang semakin meningkat bersama-sama defisit akaun semasa) kerana ia disokong oleh imbangan akaun semasa kukuh yang diumumkan Bank Negara Malaysia pada suku ketiga baru-baru ini.

Imbangan akaun semasa negara pada suku ketiga, yang diumumkan minggu lalu mencatat lebihan lebih tinggi sebanyak RM9.8 bilion berbanding RM2.6 bilion pada suku sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, rakyat tidak perlu berasa bimbang dengan andaian daripada pakar ekonomi dan sesetengah agensi penarafan yang berpendapat bahawa Malaysia akan mengalami situasi terbabit berdasarkan kedudukan terkini itu.

"Saya optimis bahawa agensi penarafan akan memberikan penarafan kredit positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini mencatatkan peningkatan melebihi anggaran konsensus," katanya selepas majlis perasmian Persidangan Statistik Kebangsaan Kedua (MyStats 2013), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Dr Sukhdave Singh dan Ketua Statistik Malaysia Dr Abdul Rahman Hassan.

Beliau berkata, kerajaan mengharapkan agensi penarafan yang melakukan penilaian itu mendapatkan bukti yang menunjukkan bahawa negara berada pada landasan terbaik untuk mencapai sasaran penurunan defisit dalam tempoh ditetapkan, sekali gus membuatkan organisasi itu menyemak semula unjuran masing-masing.

Menurutnya, beliau mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang hanya mengambil kira penarafan daripada agensi penarafan seperti Fitch Rating tanpa melihat kepada dua lagi agensi iaitu S&P dan Moody's di mana ia membuat penilaian lebih stabil.

"Saya yakin negara dapat mencapai sasaran defisit sebanyak empat peratus pada tahun ini, 3.5 peratus (2014) dan tiga peratus (2015) apabila asas pendapatan meningkat dan meluas melalui pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta perbelanjaan dioptimumkan," katanya.

Persidangan yang bertemakan Mempromosikan Inovasi dalam Statistik Kewangan dan Ekonomi bagi Menyokong Penetapan Polisi dalam Suasana Dinamik itu dilihat relevan dalam mewujudkan cabaran baru bagi pakar statistik dalam memastikan data mereka tepat dan mendedahkan pengguna mengenai kepentingan diagnosis serta tindak balas dasar tepat pada masanya berdasarkan bukti statistik.

Ia menghimpunkan pakar statistik, penyusun, penyelidik dan pengguna bertujuan menganjurkan perbincangan dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk kaedah dan pemprosesan statistik terkini, kaedah baru untuk kompilasi data dan petunjuk ekonomi statistik baru.

No comments:

Post a Comment