GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, November 20, 2013

GST kurangkan kebergantungan kepada Petronas


KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kerajaan menjangkakan peratusan sumbangan industri petroleum terutama dari Petronas kepada keseluruhan perolehan negara akan dikurangkan secara berkala selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, banyak pihak memperkatakan kerajaan memperoleh terlalu banyak perolehan daripada sumber petroleum, sama ada berbentuk dividen atau cukai.

Menurutnya, hal tersebut adalah normal kerana negara mempunyai industri minyak yang kukuh. Sebahagian keuntungan dibahagikan kepada pemegang saham dan sebahagian lagi untuk pelaburan.

"Pada 2011, sektor petroleum menyumbang 35 peratus kepada perolehan negara dan berkurang kepada 33 peratus tahun lalu disebabkan peningkatan sumbangan sektor lain.

"Melihat ke hadapan, bermula 2015 iaitu selepas GST dilaksanakan, kadar kebergantungan kerajaan terhadap sektor petroleum dijangka terus menurun," katanya sambil menegaskan kerajaan tidak menetapkan sebarang sasaran peratusan penurunan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di Persidangan Pasaran Modal Malaysia ke-18 di sini hari ini.

Tambah beliau, pengurangan kebergantungan kepada sektor petroleum merupakan objektif utama kerajaan untuk jangka masa panjang.

Mengulas mengenai pembayaran dividen Petronas, Wahid berkata, polisi syarikat berkenaan ketika ini adalah pembayaran 30 peratus daripada keuntungannya.

"Sebahagian keuntungan perlu untuk pelaburan semula. Seperti Malayan Banking Bhd. (Maybank) polisi dividen mereka kepada pemegang saham adalah antara 40 hingga 60 peratus daripada keuntungan.

"Rizab minyak juga terus kukuh kerana Petronas mengamalkan dasar mengawal kadar pengeluarannya. Kadar pengeluaran mesti lebih rendah daripada rizab penemuan loji baharu," jelasnya

Perolehan negara tahun ini dijangka RM220 bilion dan dijangka meningkat kepada RM224 bilion pada tahun hadapan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment