2013/11/20 - 06:08:52 AM
Institusi pelaburan seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) adalah antara penyokong kuat kepada usaha kerajaan untuk menggalakkan keterangkuman dalam pasaran modal tempatan yang kini bernilai lebih RM800 bilion.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata skim pelaburan kolektif yang dibentuk dan diuruskan oleh PNB sejak penubuhannya pada 1978, banyak membantu setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan yang berpendapatan kecil dan sederhana untuk serta terbabit serta dalam pasaran modal negara.
Pemudah cara pelaburan
“Skim pelaburan kolektif, iaitu pelbagai bentuk skim yang dibentuk oleh PNB boleh disifatkan sebagai pemudah cara pelaburan kepada semua lapisan rakyat Malaysia, khususnya yang berpendapatan kecil dan sederhana dalam pasaran modal.
“Skim ini adalah bukti kepada pembentukan keterangkuman pelaburan (dalam pasaran modal) kerana ia membenarkan rakyat biasa terbabit serta dan boleh menjadi sebahagian daripada kisah pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya dalam ucaptama Persidangan Pasaran Modal Malaysia Ke-18 anjuran ASLI di Kuala Lumpur, semalam.
Jamin keadilan sosial
Abdul Wahid berkata, pendekatan keterangkuman dalam pasaran modal adalah penting kerana ia bukan saja tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, malah akan menjamin keadilan sosial kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
PNB yang memiliki profil pelabur merangkumi golongan miskin dan berada, bandar dan luar bandar, awam dan swasta, profesional dan bukan profesional, kini mempunyai aset di bawah pengurusannya berjumlah lebih RM200 bilion dengan pelaburan dalam lebih 200 syarikat tempatan dalam pelbagai industri termasuk kewangan, pembinaan dan perladangan.
Pegangannya termasuk dalam syarikat senaraian awam terbesar di negara ini seperti Sime Darby Bhd, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Maybank dan SP Setia Bhd.
Sehingga kini ia sudah mengagihkan dividen dan bonus mencecah RM105 bilion menerusi unit saham amanah yang ditawarkannya.
Terdahulu, Abdul Wahid berkata, pasaran modal tempatan semakin matang dan kini menjadi pemangkin terbaik dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Pasaran modal tempatan banyak membantu mengukuhkan lagi usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Secara asasnya, ia bertindak menguruskan simpanan dengan cekap selain memudahkannya untuk digerakkan bagi tujuan pembentukan modal, sekali gus membolehkan projek kritikal khususnya yang membabitkan pembangunan infrastruktur awam dan swasta seperti utiliti, pengangkutan dan telekomunikasi dapat dibiayai dengan sempurna,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui media di luar persidangan itu, Abdul Wahid berkata, peratusan sumbangan PETRONAS kepada jumlah pendapatan kerajaan akan mengurangkan secara beransur-ansur apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan bermula 1 April 2015 nanti.
“Hasil peratusan sumbangan PETRONAS menurun dan kita (kerajaan) memperluaskan sumber pendapatannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment