GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 21, 2013

Pelaksanaan GST: Anwar pernah sebut pada 1993


Anis Nazri, 31 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hanya akan melaksanakan GST setelah dua perkara diatasi terlebih dahulu, iaitu soal ketirisan, pembaziran serta monopoli, serta pendapatan rakyat ditingkatkan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekiranya dua perkara itu tidak diatasi, GST tidak akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran negara.

Bercakap pada sidang media di lobi parlimen, hari ini, Anwar menegaskan perkara ini bukan pertama kali disebut beliau, sebaliknya pernah menyebut mengenainya pada 1993.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila terdapat laporan yang cuba memusing kenyataannya seolah-olah baru sekarang beliau menyokong GST.

"Bukan sahaja ketika perbahasan bajet baru ini saya sebut tentang pelaksanaan GST yang lebih telus dan efisyen, malah ketika menjadi menteri kewangan dahulu. Tapi, perlu hapuskan dulu ketirisan, rasuah dan monopoli, serta meningkatkan taraf pendapatan rakyat dahulu," tegas beliau.

Jelas beliau, pada 1993, beliau memang menyokong ketika Tun Daim Zainuddin mengumumkan untuk melaksanakan sistem GST.

Bagaimanapun tegas Anwar, selepas beliau mengambilalih jawatan Menteri Kewangan, dalam keadaan kerajaan mempunyai lebihan perbelanjaan ketika itu, pelaksanaan GST tidak dilakukan.

"Kenyataan saya mengenai GST tidak pernah berubah kerana ia memang satu sistem yang baik, cuma pelaksanaannya nanti dengan keadaan negara yang perlu ditumpukan terlebih dahulu," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan pengurangan subsidi tidak akan mengurangkan beban rakyat, sebaliknya hanya menguntungkan syarikat tertentu.

"Saya tidak hairan kalau ada MP BN yang bercakap bagi pihak Tan Sri Syed Mokhtar, kerana itu sudah menjadi amalan. Tapi pada kali terakhir subsidi gula dipotong iaitu Mei 2011, keuntungan yang direkodkan melonjak naik sehingga 15 peratus, yang sebelumnya sekitar sembilan peratus. Jadi, jika mahu dikatakan pemindahan subsidi itu mengurangkan beban rakyat, ia tidak benar," tegas Anwar.

No comments:

Post a Comment