GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 18, 2013

Lebih banyak syarikat daftar di bawah GST



IPOH 17 Nov. - Kerajaan optimis lebih banyak syarikat akan mendaftar di bawah sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan mula diperkenalkan pada 1 April 2015 biarpun hanya organisasi perniagaan meraih perolehan melebihi RM500,000 setahun sahaja diwajibkan untuk berbuat demikian.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, perkara itu disebabkan syarikat-syarikat berkenaan boleh menerima pembayaran balik berbanding cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang dilaksanakan sebelum ini.

"GST dijalankan secara berperingkat dan pada peringkat kedua, ketiga dan keempat, mereka boleh mendapat pembayaran balik daripada pelunasan bayaran yang dibuat di bawah sistem tersebut.

"Jadi, dengan cara itu, syarikat-syarikat akan mendaftar di bawah GST walaupun kita letak penanda aras RM500,000 ke bawah tidak perlu untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Deepavali anjuran Parlimennya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambun di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah dan ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, rang undang-undang GST akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan selain satu jawatankuasa pemantau keseluruhan pelaksanaan sistem tersebut akan dibentuk menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, jawatankuasa yang akan dipengerusikannya sendiri itu juga akan melibatkan beberapa orang menteri selain pembabitan kementerian, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Selain memantau pelaksanaan GST, jawatankuasa ini akan meneruskan usaha-usaha kita untuk turun ke bawah di peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan yang dapat difahami oleh semua rakyat melibatkan kawasan-kawasan Parlimen.

"Sebelum ini, kita ada buat membabitkan agensi kerajaan dan NGO dengan penglibatan kira-kira 200,000 individu, namun itu hanya di peringkat atasan. Kita mahu pelaksanaan GST pada 2015 nanti begitu sempurna," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment