GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 18, 2013

Jawatankuasa Pemantauan perjelas GST


2013/11/18 - 05:16:12 AM

Ipoh: Jawatankuasa Pemantauan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka ditubuhkan akhir tahun ini akan memantau secara menyeluruh dan menerangkan kepada rakyat di peringkat akar umbi berhubung pelaksanaan GST.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata selain penerangan pada peringkat kementerian, agensi pusat dan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjelasan berhubung pelaksanaan GST akan dipanjangkan sehingga ke peringkat Parlimen. 

Pemahaman menyeluruh 

“Kita sudah merangka selepas sidang Parlimen kali ini selesai, kita akan terus turun ke bawah sehingga kawasan Parlimen supaya dapat difahami oleh rakyat sepenuhnya mengenai GST,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Tambun di sini, semalam.

Katanya, dalam tempoh dua tahun lalu, lebih 200,000 individu yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta NGO sudah diberi penjelasan mengenai cukai berkenaan.

“Jika sesi penerangan sebelum ini memberi tumpuan kepada ketua dan pemimpin mewakili pelbagai pihak, tumpuan kali ini adalah kepada orang ramai yang berada di peringkat akar umbi,” katanya.

GST kini dilaksanakan di lebih 160 negara, termasuk negara kurang maju, pada kadar lima hingga 27 peratus. 
Dalam perkembangan lain, Husni berkata kerajaan yakin mampu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga lima peratus tahun ini berasaskan kepada pencapaian pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus bagi suku ketiga tahun ini.

Pada masa sama, katanya, pelaburan kerajaan di bawah perbelanjaan pembangunan pada suku ketiga masih dilaksanakan pada suku keempat sekarang yang mana kesan daripada pelaburan itu tiba di kemuncaknya dalam tempoh dua bulan ini. 

“Oleh itu, kita sekarang berada di landasan yang betul dalam mencapai kadar pertumbuhan antara 4.5 hingga lima peratus untuk keseluruhan tahun ini, malah ada kemungkinan lebih tinggi lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment