GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 18, 2013

Langkah pastikan PKS tidak terjejas


ARKIB : 16/11/2013
MUSTAPA Mohamed menyampaikan trofi tempat pertama kepada Pengerusi Kumpulan
SYM World Innovation, Datuk Tan Kin Lee sambil diperhatikan Ir. Mohamed Al Amin
Abdul Majid (kanan) pada majlis Penyampaian Anugerah Enterprise 50 (E50) di Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kerajaan melaksana pelbagai langkah bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak terjejas dengan transformasi dasar di bawah Model Ekonomi Baharu (MBE) termasuk dasar gaji minimum serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, antara langkah yang dilakukan termasuk menyediakan pakej kewangan khas berjumlah RM150 juta untuk menyediakan kelengkapan sistem perakaunan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar PKS dapat mematuhi GST yang bakal dilaksana pada 2015.

"Kerajaan juga akan menyediakan sebanyak RM100 juta lagi untuk geran latihan bagi tujuan itu," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Enterprise 50 (E50) kepada 50 usahawan PKS di sini malam ini.

Mustapa berkata, antara langkah lain termasuk mewujudkan kerjasama antara SME Corp. dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melaksana program pembinaan kapasiti, latihan dan kesedaran yang akan dijalankan di seluruh negara tahun depan.

"Walaupun industri PKS berdaya tahan dalam keadaan ekonomi semasa, kerajaan tetap perlu melaksanakan semua langkah ini bagi memastikan industri ini terus berdaya saing," katanya.

Menurut beliau, kerajaan akan menyediakan sokongan, bantuan dan kelengkapan untuk PKS dengan mewujudkan ekosistem yang tepat untuk usahawan kategori itu terus berkembang.

Menyentuh mengenai E50, Mustapa berkata, sehingga kini, sebanyak 581 syarikat PKS terpilih memenangi anugerah tersebut sekali gus membentuk alumni E50 sejak program itu diwujudkan 17 tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 60 syarikat telah disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Ini membuktikan syarikat E50 telah berkembang dan meletakkan diri mereka dalam cabaran hari ini," katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, Mustapa turut menyampaikan Anugerah E50 kepada 50 usahawan PKS cemerlang tahun ini.

Syarikat SYM World Innovation Sdn. Bhd. diumumkan sebagai penerima Anugerah E50 tempat pertama diikuti Dewina Food Industries Sdn. Bhd. (kedua) dan Furutec Electrical Sdn. Bhd. (ketiga).

Sementara itu, syarikat Indkom Engeneering Sdn. Bhd. mendapat tempat keempat, Penchem Technologies Sdn. Bhd. (5), My CO2 Sdn. Bhd. (6), Exis Tech Sdn. Bhd. (7), LyBase Sdn. Bhd. (8), Natural Health Farm Marketing (M) Sdn. Bhd. (9) dan Gading Kencana Sdn. Bhd. (10).

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment