GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

Sidang DUN Selangor yang ditunggu-tunggu


ARKIB : 09/11/2013
BUDIMAN MOHD ZOHDI 
ADUN Sungai Panjang merupakan Setiausaha ADUN BN Selangor

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan berlangsung pada 19 November sehingga 2 Disember ini merupakan Mesyuarat ketiga untuk tahun 2013.

Jika pada sidang DUN Julai lalu mencetuskan isu kebanjiran pusat urut kaki dan judi siber yang memberi impak sosial negatif kepada rakyat Selangor, sidang kali ini akan fokus kepada bajet, atau lebih tepat lagi terhadap isu-isu berkaitan dengan pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Dalam sidang ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan membentangkan bajet tahun 2014 bagi negeri Selangor di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan. Ini merupakan pembentangan bajet sulung pasca Pilihan Raya Umum (PRU 2013). Sudah tentu rakyat mahu melihat apakah jenis bajet yang akan dibentangkan untuk warga Selangor. Apakah bentuk tadbir urus ekonomi yang akan mereka bawakan.

Jika Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar Ibrahim melabelkan bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober lalu sebagai bajet mengikat rakyat kerana memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sudah tentu kerajaan Pakatan Selangor ini akan membentangkan bajet yang lebih baik. Bajet yang dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Tetapi adakah mereka mampu membentang sesuatu yang lebih baik? Atau sekadar kata dulang paku serpih? Ini kerana kalau dilihat kepada realiti, kerajaan Pakatan ini sentiasa dalam keadaan berdolak-dalik. Malah Anwar sendiri tidak konsisten dalam pendiriannya berkaitan GST.

Bagi rakyat, mereka sudah tentu mengharapkan Bajet Selangor 2014 ini bersifat memenuhi janji manifesto Pakatan pada PRU yang lalu. Isu-isu rakyat, terutama yang melibatkan perumahan dan peningkatan kos sara hidup mesti menjadi agenda utama.

Janji Pakatan pada PRU itu memang sedap didengar. Kita boleh berlapang dada apabila mendengarnya. Namun jangan diharap pada bintang yang berkelip tinggi di langit kerana bagi mereka 'manifesto bukan janji'. Rakyat tidak perlu toleh jauh untuk melihatnya buktinya. Tengok saja janji yang ditaburkan pada PRU 2008. Majoriti daripada manifesto mereka pada PRU 2008 tidak ditunaikan. Kebanyakan rakyat di Selangor telah tertipu dengan janji manis mereka.

Rasa tertipu dan tidak puas hati itu bukan sahaja datang daripada rakyat biasa, tetapi juga dalam kalangan barisan kepimpinan Pakatan itu sendiri termasuk para wakil rakyat mereka. Itu yang mendorong kepada tercetusnya episod hilang keyakinan pengikut kepada pemimpin di Selangor pada penghujung Oktober lalu, apabila 44 orang wakil daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan dilaporkan mengkritik kepimpinan Abdul Khalid yang disifatkan gagal mengurus tadbir perbelanjaan negeri dengan baik.

Lantaran, satu memorandum dihantar kepada Menteri Besar Selangor itu oleh ADUN-ADUN Pakatan sendiri. Perkara ini menunjukkan mereka tidak arif dalam mentadbir Selangor dan tidak tahu menilai antara pemimpin dan yang dipimpin.

Malah kerjasama sesama rakan Pakatan di Selangor juga bercelaru apabila Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang juga Timbalan Kelab BBC Pakatan secara terbuka menyifatkan peruntukan kerajaan negeri yang disalurkan kepada ADUN-ADUN Pakatan kurang daripada yang diinginkan.

Mengapa hal ini berlaku? Dari situ timbul tanda tanya dalam beberapa hal. Mengapakah Abdul Khalid gagal mengadakan mesyuarat antara wakil BBC negeri setiap dua minggu sekali? Dan kenapa beliau tidak menyalurkan peruntukan yang mencukupi kepada ADUN-ADUN beliau?

Kritikan terhadap Abdul Khalid ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Ia sebenarnya mempunyai banyak makna termasuk kemungkinan dibuat atas dasar mahu Menteri Besar itu mengubah cara pentadbiran negeri.

Kritikan itu juga boleh ditafsir sebagai penolakan secara halus terhadap Abdul Khalid sebagai Menteri Besar selain merasakan pentadbiran negeri ini perlu dipimpin oleh individu lain.

Atau mungkin juga kritikan itu disengajakan atau telah dirancang kerana barangkali ada pihak mahukan Abdul Khalid digantikan dengan individu lain sebagai Menteri Besar.

Mungkin ada pihak sengaja mahu memberikan tekanan kepada Abdul Khalid dengan harapan ia akan menampakkan kepincangan beliau dalam mengurus tadbir negeri Selangor mana itu sudah tentu akan memberi ruang kepada individu tertentu untuk mengambilalih tempatnya.

Yang jelas kelihatan bukan sahaja kepincangan Abdul Khalid, tetapi turut mendedahkan ketempangan kerajaan Pakatan itu sendiri kerana para pemimpinnya lebih mengutamakan kepentingan dan agenda peribadi daripada berusaha menyelesaikan masalah rakyat.

Apakah nasib yang akan dialami oleh Abdul Khalid selaku nakhoda kapal yang tidak lagi dipercayai oleh kelasi sendiri? Tunggu dan nantikan sehingga Sidang DUN yang bakal menjelma. Adakah beliau bakal menerima episod 'pepat di luar, rencong di dalam? Saatnya akan tiba.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment