GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

Kefahaman rakyat terhadap kebaikan GST dan hipokrasi politik

SEORANG pengundi muda di Kepala Batas, bertemu dengan penulis selepas perasmian Program Ceriathon dan Apresiasi Kokurikulum 2013 anjuran SK Bertam Indah kelmarin. Berdasarkan perbualan ringkas tersebut, saya dapat mengagak bahawa dia seorang yang berpendidikan tinggi. Telahan saya tepat.

Dia seorang Jurutera di salah sebuah syarikat swasta di Kulim. Program di SK Bertam Indah itu adalah antara majlis pertama yang saya hadiri pasca pembentangan bajet yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas, pengundi muda itu menzahirkan rasa kurang senang dengan beberapa pengumuman yang dilakukan di dalam pembentangan bajet berkenaan. Sebagai ketua keluarga (surirumah tidak bekerja) dan mempunyai anak seramai 3 orang, pengundi tersebut khuatir dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan memberikan tekanan kepada ekonomi keluarganya. Saya mengingatkan, bahawa GST di Malaysia tidak bersifat ‘semberono’ dan membuta tuli.

Saya juga mengingatkan bahawa banyak barangan yang dikecualikan daripada dikenakan GST. Kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST – dengan ‘pakej sosial’ yang boleh membantu rakyat untuk menerima kesan yang keterlaluan.

Pengundi tersebut menunjukkan siri komunikasi ‘twitter’ beberapa orang Ahli Parlimen pembangkang yang banyak menzahirkan rasa tidak puas hati dengan pengumuman belanjawan – khususnya pelaksanaan GST.

Secara terus terang, saya memaklumkan bahawa semua orang, termasuk saya sendiri masih perlu mendalami soal pelaksanaan GST ini. Sesuatu yang baru bukannya boleh diterima secara bulat-bulat, tanpa ada sebarang kesan langsung kepada perbelanjaan kita seharian sebagai rakyat biasa.

Namun, penulis juga meminta pengundi muda itu untuk turut membaca lebih banyak bahan dalam memahami konsep dan pelaksanaan sebenar GST. Seboleh mungkin, jangan meletakkan kiblat pemikiran kepada beberapa orang ahli Parlimen pembangkang yang mempunyai nawaitu politik untuk menyulitkan keadaan.

Ada juga dalam kalangan pembangkang yang menganggap langkah kerajaan untuk mengumumkan pelaksanaan GST sekitar 2015 adalah satu penipuan kepada pengundi. Ini jugalah yang menjadi hujah Ahli Parlimen Lembah Pantai, dalam kenyataan yang dibuat sekitar 4 Oktober 2012.

Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut membuat kenyataan: ‘….Barisan Nasional patut mengangkat isu GST dan membawanya ke PRU yang akan datang dan tanyakan sendiri kepada rakyat Malaysia sama ada mereka akan memilih sebuah Malaysia yang kotor dengan GST, ataupun yang disarankan Pakatan Rakyat: sebuah Malaysia yang bersih tanpa GST’.

Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut wajar diingatkan bahawa Rang Undang-Undang GST dibentang bagi Bacaan Kali Pertama di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas yang berlangsung dari 19 Oktober 2009 hingga 17 Disember 2009. Malah pada ketika itu, GST dijangka dilaksanakan pada Julai 2011! Ini sekali gus bermakna, PRU-13 dilaksanakan ketika mana bunga-bunga pelaksanaan GST sudah semakin jelas. RUU GST sudah dibentangkan di Parlimen dan mula dibahaskan di media massa. Untuk mengatakan pengundi tidak sedar langsung dengan kehadiran GST adalah satu pandangan yang tersasar.

Rakyat tahu, maklum dan faham bahawa sememangnya GST sudah ada di dalam pelan pelaksanaan ekonomi kerajaan sejak 2009. Ramai pakar ekonomi sendiri mahukan GST dilaksanakan sebagai kaedah memperluas spektrum percukaian.

Hipokrasi Politik

Rakyat perlu sedar dan maklum bahawa usaha menjadikan GST sebagai alat politik pembangkang ini adalah sesuatu yang kita dapat agak dengan mudah.

Kejayaan pelaksanaan GST akan memungkinkan pembangunan negara dapat diatur dengan lebih baik dan tersusun. Hasil kajian banyak pihak, pada tahun pertama pelaksanaan GST, sejumlah hampir RM23 bilion dapat dikutip oleh kerajaan. Namun ia perlu ditolak kepada banyak usaha awal pengenalan GST seperti – bantuan perisian perakaunan, geran latihan, pembayaran balik cukai jualan dan pakej bantuan cukai yang lain.

Apa sahaja lebihan yang ada di dalam akaun kerajaan, membawa makna lebih banyak agenda pembangunan sosial yang dapat dilakukan di akar umbi. Dengan disiplin kewangan yang baik dan tadbir urus lebih cekap, di samping pendapatan baru GST – ia akan menjadi mimpi ngeri kepada pembangkang. Sebab itu, dalam pada mereka bersungguh-sungguh menolak GST dan menggerakkan kempen media baru #NoGST, pembentangan belanjawan yang kononnya ‘alternatif’ daripada pihak mereka masih memasukkan GST sebagai antara perkara utama.

Seksyen 3, daripada belanjawan alternatif pembangkang membuat mukadimah yang berikut:-

Walaupun pada dasarnya GST boleh menjadi mekanisme penjana hasil yang berkesan, potensi daya pendorong untuk mempertingkatkan perkhidmatan kerajaan dan sistem pentadbiran cukai, dan memangkin keadilan yang lebih luas untuk semua perniagaan tanpa mengira industri/sektor sambil mengekang “ekonomi gelap” dan pengelakan cukai..’.

Sekurang-kurangnya ada enam perkara positif berkenaan GST yang dibentangkan di dalam belanjawan tersebut. Nyata, pembangkang sendiri mahu melaksanakan GST! Ini adalah hipokrasi politik yang sangat jelas. Mereka hanya mengatakan, masanya masih belum tepat untuk melaksanakan GST.

Saya cuma teringat bagaimana pernah membaca kenyataan di dalam laman twitter milik Wan Saiful Wan Jan (Institute of Democracy and Economic Affairs/IDEAS) kepada seorang ahli parlimen pembangkang – bahawa beliau cukup yakin pakatan pembangkang juga akan melaksanakan GST jika mereka menjadi kerajaan!

Kaedah hipokrasi politik pembangkang ini tidak membawa Malaysia jauh ke hadapan. Ratusan negara di dunia melaksanakan GST dan ia terbukti sebagai antara mekanisme percukaian yang baik. 33 daripada 34 negara OECD melaksanakan GST – dan mereka dapat nikmat dan faedah yang akhirnya dikembalikan kepada rakyat.

Saya sempat meninggalkan nombor telefon kepada jurutera yang tampil berbincang mengenai GST dalam suasana yang santai itu. Berdasarkan perbincangan ringkas tersebut, saya sedar bahawa agenda komunikasi merupakan perkara yang paling perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

PENULIS adalah Ahli Parlimen Kepala Batas dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO

4 comments:

  1. ape faedahnya kepada rakyat? saya tak dapat cari. saya tgh buat assignment ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mira Aslan boleh refer di gst.customs.gov.my jawapan yg lengkap ada di situ. Admin ucapkan selamat berjaya dgn assignment saudari... :)

      Delete
  2. https://www.facebook.com/groups/589752931061659/

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih tuan Noraizan. Moga perbahasan ilmiah dlm group facebook ini akan memanfaatkan semua... :)

      Delete